Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki termasuk presiden sebuah parti politik yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pengeluaran kad pengenalan negara ini.
Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd Arshad Abdul Mualap, 46 bersama seorang lagi lelaki, Mohd Amkah Ahmad, 48 itu sudah dihadapkan di Mahkamah Shah Alam pagi tadi.
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang medianya berkata, kedua-dua suspek ditahan di Subang Jaya pada 22 Jun lalu dan merampas ratusan borang membabitkan ratusan mangsa penipuan.
Katanya, sindiket itu melakukan penipuan dengan menawarkan kad data lengkap berkod QR yang didakwa membolehkan mereka memiliki Kad Pengenalan Malaysia (Mykad).
“Sindiket ini juga mendakwa mereka yang memegang kad ini boleh mendapatkan segala keistimewaan seperti rakyat tempatan termasuk perkhidmatan hospital dan pendidikan.
“Yang paling penting, sindiket ini seolah-olah memberi jaminan pemegang kad ini akan diberikan kad pengenalan Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Hamzah berkata, suspek utama adalah seorang presiden parti politik yang dipercayai menggunakan parti itu untuk kepentingan diri dengan melakukan perkara tidak diingini.
Katanya, kerajaan sebaliknya tidak pernah memberikan kuasa atau mengarahkan mana-mana pihak untuk memberikan atau mengeluarkan kad pengenalan.
-Deasoka