Penduduk Mansiang mahukan jambatan untuk ‘limpas’ Sungai Biah

Penduduk Mansiang mahukan jambatan untuk ‘limpas’ Sungai Biah

Keningau: “Beginilah keadaan kami, kalau hujan lebat, paras air sungai naik dan menyebabkan kami tidak dapat ‘limpas’ (menyeberang) sungai,” itu luahan penduduk Suhainin Lait, 30, ketika ditemui di Kampung Mansiang Baru, di Keningau, semalam.

Suhainin berkata, keadaan itu berlarutan sejak dulu lagi dan sejak dibina saluran paip itu dua tahun lalu, itu satu-satunya jalan alternatif untuk menyeberang sungai ketika paras air sungai meningkat.

Suhainin ketika ditemui bersama anaknya ketika menyeberang Sungai Biah, Kampung Mansiang Baru, Keningau.

“Kalau air sungai naik, memang semua penduduk tidak dapat lalu termasuk anak-anak tidak dapat bersekolah.

“Saluran paip ini pun baru saja siap dua tahun lalu dan saya terpaksa bergadai nyawa dengan menyikut anak untuk menyeberang sungai ketika pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.

Saluran paip yang digunakan murid untuk menyeberang Sungai Biah, Mansiang Baru, Keningau.

Katanya lagi, sebab itu perkara yang dihadapi penduduk ditularkan di media sosial supaya satu jambatan dapat dibina di sungai ini untuk kemudahan penduduk di sini.

“Tindakan segera harus diambil untuk membina jambatan di sungai ini, buat masa ini jambatan adalah keutamaan kami.

“Sebab bukan semata-mata untuk keperluan anak-anak pergi ke sekolah tetapi untuk hal kecemasan untuk ke hospital dan sebagainya,” katanya.

Juliana

Sementara itu, seorang lagi penduduk Juliana Pati, 45, berkata, ahli keluarganya yang berada di seberang sungai tidak dapat menyeberang apabila paras air meningkat.

“Baru-baru ini hujan berterusan menyebabkan air naik di sungai dan sekali gus menyebabkan anak-anak yang pulang dari sekolah tidak boleh melalui sungai berkenaan.

“Sebab itu mereka lalu menggunakan saluran paip untuk ke sekolah dan adakala mereka tidak dapat ke sekolah kerana jambatan yang ada memang tidak boleh dilalui,” katanya.

Katanya lagi, akibat sungai sering dinaiki air menyebabkan ada murid dan pelajar kerap tidak dapat bersekolah.

“Dalam satu minggu mesti ada hari yang mereka tidak dapat hadir ke sekolah,” katanya.

Sehubungan itu, Juliana berharap hasil lawatan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid Flovia Ng ke kampung itu baru-baru ini akan memberikan satu jambatan yang boleh digunakan semua penduduk di sini.

Sementara itu, Flovia ketika dihubungi berkata, kelulusan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk pembinaan jambatan gantung sudah pun diluluskan.

“Jambatan gantung untuk Kampung Mansiang Baru sudah tersenarai dalam perlaksanaan melalui peruntukan ADUN.

“Kelulusan dari KPLB pun sudah dikeluarkan dan dalam masa terdekat ini akan dilaksanakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|