PDRM, SPR bincang terperinci persediaan PRU-15

PDRM, SPR bincang terperinci persediaan PRU-15

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan secara terperinci persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perjumpaan berkenaan amat penting bagi memastikan perkara berbangkit termasuk isu teknikal dapat diselesaikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, antara perkara yang perlu diselesaikan adalah membabitkan perkhidmatan talian komunikasi di kawasan pedalaman atau pusat mengundi baharu.

Katanya, terdapat kawasan pedalaman yang diketahui berjauhan dengan kemudahan internet dan sebagainya.

“Sebab itu kita perlu satu perbincangan lebih awal dengan pihak SPR berhubung perkara ini. Kita akan mengemukakan segala permasalahan untuk diatasi termasuk dari segi penyaluran maklumat.

“Perbincangan awal ini adalah satu langkah signifikan dalam memastikan setiap persediaan awal yang dilakukan dapat memastikan kelancaran proses pemilihan PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah serta Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kota Kinabalu.

Idris berkata, pihaknya juga masih belum mendapat maklumat berhubung jumlah tambahan pusat mengundi di kawasan baharu.

Katanya, sebaik mengetahui jumlah sebenar tambahan berkenaan, ia akan membolehkan mereka mengenalpasti permasalahan yang ada sekaligus mencari jalan penyelesaian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|