PDRM dinasihatkan batal segera pemindahan anggota disiasat ke Sabah, Sarawak

PDRM dinasihatkan batal segera pemindahan anggota disiasat ke Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinasihatkan supaya membatalkan segera keputusan berkaitan pemindahan sembilan anggotanya yang disiasat dalam kes pemerasan ke Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Abdul Hisham Othman turut menasihatkan supaya pegawai yang membuat keputusan itu supaya lebih berhati-hati dalam memutuskan sebarang keputusan pada masa hadapan.

“Saya ingin menarik perhatian umum berkenaan keputusan dan tindakan pihak PDRM yang memutuskan untuk memindahkan sembilan pegawainya yang terlibat dengan kes peras ugut di Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“PAS Sabah ingin menasihati Ketua Polis Negara agar membatalkan dengan serta-merta keputusan itu dan menasihatkan pegawai yang membuat keputusan tersebut supaya lebih berhati-hati dalam memutuskan sebarang keputusan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Keningau turut menegaskan bahawa setiap salah laku pegawai dan anggota PDRM terutama melibatkan kesalahan jenayah harus dikenakan pertuduhan di mahkamah selepas siasatan menyeluruh dilakukan.

“Mereka yang terlibat mestilah dituduh dan diadili oleh mahkamah serta sekiranya sabit kesalahan mestilah dijatuhi hukuman yang setimpal mengikut peruntukan dalam undang-undang negara.

“Sementara menanti disabitkan kesalahan mereka mestilah digantung dari menjalankan apa-apa tugasan dan mestilah dipastikan bahawa mereka tidak akan mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Tegasnya lagi, tiada sebarang keistimewaan atau pendakwaan terpilih kepada mana-mana pegawai atau anggota pasukan keselamatan.

“Ini memandangkan mereka merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab melindungi orang awam dan mempertahankan kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara,” katanya.

Katanya lagi, PAS Sabah juga menggesa Ketua Polis Negara memohon maaf kepada kerajaan dan seluruh rakyat Sabah kerana membuat keputusan yang mencerminkan sikap tidak peka serta seolah-olah Sabah menjadi tempat longgokan sampah bagi PDRM melepaskan tanggungjawab atas salah laku pegawai dan anggota mereka.

“Rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan kaum serta agama mahukan keselamatan wilayah ini diletakkan di bawah tanggung jawab pegawai dan anggota polis yang mempunyai integriti dan disiplin yang tinggi agar kami dapat membina sebuah negeri yang menepati slogan Sabah Maju Jaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|