Naik taraf Hospital Tenom, atasi segera masalah tempat simpan mayat – Riduan Rubin

Naik taraf Hospital Tenom, atasi segera masalah tempat simpan mayat – Riduan Rubin

Tenom: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta segera mengatasi masalah beberapa fasiliti di Hospital Daerah Tenom yang daif dan tidak dapat digunakan, terutama peti sejuk tempat menyimpan mayat.

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berkata kerosakan peti sejuk tempat simpanan mayat menyusahkan rakyat kerana mayat simati terpaksa dihantar dan disimpan di Hospital Keningau.

Riduan meninjau keadaan Unit Hemodialisis Hospital Daerah Tenom yang menghadapi masalah kekurangan mesin dialisis.

Menurutnya, dalam kes tertentu, mayat simati terpaksa dikebumikan segera kerana tiada tempat menyimpannya.

“Masalah kerosakan peti sejuk tempat simpanan mayat di Hospital Daerah Tenom telah berlaku sekian lama. Justeru saya berharap KKM dan Jabatan Kesihatan Sabah dapat menyelesaikan masalah itu dengan kadar segera demi kemudahan rakyat Tenom,” katanya.

Riduan meninjau keadaan peti sejuk simpanan mayat di Hospital Daerah Tenom yang rosak.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan meninjau Hospital Daerah Tenom, dekat sini bagi meninjau sendiri aduan orang ramai berhubung masalah di hospital berkenaan.

Riduan berkata, fasiliti lain yang memerlukan perhatian KKM ialah keadaan bilik ‘post mortem’ (bedah siasat) yang sudah daif dan kekurangan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Selain itu, katanya turut dihadapi ialah masalah air yang berpunca daripada kapasiti tangki yang tidak mencukupi untuk menyimpan air, masalah kekurangan mesin rawatan dan peralatan hospital yang tidak berfungsi dengan baik serta keadaan hospital yang daif.

Katanya, pihak Hospital Daerah Tenom telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu utama itu selewat-lewatnya akhir bulan ini.

“Sudah tiba masanya KKM menaik taraf Hospital Daerah Tenom dan menggantikan mesin serta peralatan lama dengan peralatan baharu kerana rakyat mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap Menteri Kesihatan yang baharu, Dr Zaliha Mustafa akan memberi keutamaan kepada rayuan penduduk Tenom yang mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik di samping infrasrtuktur kesihatan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berharap pihak Hospital Daerah Tenom akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Tenom setelah permasalahan dalam bidang kesihatan diatasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|