Kota Kinabalu: Seramai 29 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat fenomena air pasang dan ombak besar, di sini, masing-masing menerima sumbangan zakat berjumlah RM500.
Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sumbangan itu disalurkan Pusat Zakat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Menurut beliau, pihaknya akan menunggu laporan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pihak yang tercicir.
“MUIS memberikan sumbangan RM500 bagi setiap KIR mangsa bencana ombak ini dan kita akan menunggu laporan terkini berkemungkinan ada yang tercicir.
“Setakat ini, kita menyediakan jumlah keseluruhan RM40,000 bantuan untuk mangsa musibah termasuk mangsa di Pulau Gaya.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana ini.
“Keperluan mangsa terbabit akan diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bersama pasukan keselamatan dan diberikan maklumat mengenai bencana dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian bencana ombak dan air pasang beaar di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir ketika tinjauan itu ialah Timbalan Yang Dipertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad.
Terdahulu, Deasoka.com melaporkan terdapat dua rumah roboh manakala sembilan lagi terjejas susulan fenomena air pasang besar dan ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, malam tadi.
-Deasoka