Kota Belud : Seorang lelaki cedera selepas dihampap pokok tumbang ketika memancing di tepi sungai Kampung Tamu Darat, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 59 tahun yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan jam 8.46 malam itu, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, terdapat pokok tumbang menghempap seorang mangsa yang sedang melakukan aktiviti memancing di tepi sungai menyebabkan mangsa terjatuh ke sungai sedalam tiga meter.
“Mangsa berjaya diselamatkan oleh anaknya sebelum mereka berpaut pada pokok yang tumbang.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menjalankan operasi menyelamatkan mangsa menggunakan sistem ‘hauling’ dan membawa mangsa naik ke tebing sejauh 15 meter menggunakan strecher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.44 malam,” katanya.
-Deasoka