Kes penipuan pekerjaan di Kemboja: Mangsa dipaksa hafal skrip ‘scammer’ pikat lelaki

Kes penipuan pekerjaan di Kemboja: Mangsa dipaksa hafal skrip ‘scammer’ pikat lelaki

Kota Kinabalu: Dipaksa menghafal skrip dan menyamar sebagai wanita untuk melakukan penipuan atau ‘scammer’ kepada mangsa atas talian.

Itulah pengalaman pahit selama lebih tujuh bulan yang terpaksa dilalui empat lelaki yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja.

Mereka yang berasal dari Sabah itu dapat ditemui selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), jam 5 petang tadi.

Ketibaan mereka disambut Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas Dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan yang memainkan peranan membantu membawa balik mangsa terlibat.

Menceritakan lebih lanjut, salah seorang mangsa berkata, dia mendapat tawaran pekerjaan sebagai penterjemah manakala beberapa individu lain pula ditawarkan untuk bekerja di sebuah kasino di negara jiran berkenaan.

Bagaimanapun katanya, setibanya di negara itu, mereka sebaliknya diarahkan untuk menghafal skrip.

“Pada awalnya, saya menyangka ia mempunyai kaitan dengan pekerjaan yang ditawarkan kepada saya sebagai penterjemah.

“Namun selepas empat hari di sana, saya mula ragu apabila diarahkan untuk mencipta 20 akaun media sosial dan menyamar sebagai wanita,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, mereka kemudiannya diarahkan untuk berbual dengan pelanggan mengikut kepada skrip yang disediakan dan rata-rata sasaran mangsa adalah lelaki.

Katanya, keadaan semakin buruk apabila tidak dibayar gaji pada bulan kedua dan apabila timbul keinginan untuk melarikan diri, mereka hanya membatalkan niat melihat kepada kawalan ketat di kawasan mereka ditempatkan.

“Kami sentiasa dipaksa dan sekiranya kami tidak mencapai sasaran, di situlah ‘petugas’ sindiket akan cuba untuk menyeksa kami.

“Selepas itu, kami dibawa ke suatu tempat baharu yang lebih dikawal ketat, dan kami diarahkan untuk melakukan penipuan yang lebih dahsyat.

“Pada ketika itu, kami rasa mahu melarikan diri tetapi kawasan itu sangat jauh terpencil. Malah kami melihat individu-individu yang menjaga kami juga kebanyakannya memegang senjata,” katanya.

Bagaimanapun katanya, nasib mereka berubah apabila dipindahkan ke sebuah hotel yang tidak dijaga oleh petugas keselamatan sindiket berkenaan.

Menurutnya, menyedari peluang itu, mereka terus mengambil kesempatan untuk menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi mendapatkan bantuan.

“Pihak MHO dapat menyediakan sebuah kenderaan untuk membawa kami sampai ke pejabat kedutaan Malaysia.

“Kami bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri tapi masih bimbang mengenangkan nasib sekurang-kurangnya 14 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, tidak ada kata yang mampu mengungkapkan rasa lega dan gembira kami selepas berjaya kembali ke tanah air.

Sementara itu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, usaha-usaha untuk membawa balik mereka dilakukan sejurus menerima maklumat berhubung hal berkenaan.

“Kami memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan beliau sangat risau dengan keadaan mereka sebelum meminta kami untuk menguruskan ini dengan segera.

“Kejayaan membawa balik semua mangsa ini adalah hasil kerjasama kedutaan Malaysia, MHO, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kerajaan Negeri serta Rumah Sabah di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan masih terdapat beberapa mangsa yang masih terkandas dan usaha membawa pulang mereka sedang giat dilakukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|