Jasmin Hussin dilantik Ketua Polis Daerah Tawau

Jasmin Hussin dilantik Ketua Polis Daerah Tawau

Tawau: Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau, yang baharu berkuat kuasa 7 Mac lalu.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Asisten Komisioner Peter Umbuas yang bertukar sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ), Siasatan dan Perundangan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Datuk Jauteh Dikun (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Tawau di IPD Tawau.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, semalam.

Jauteh berkata, pertukaran jawatan pegawai kanan polis sesuatu yang lazim dilakukan bagi meningkatkan tahap kepimpinan dan memperkasakan penugasan dalaM Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pertukaran ini satu proses biasa dalam PDRM, yang mana untuk jawatan-jawatan penting seperti ini seseorang itu kerap kali akan bertukar ke tempat lain dan kebetulan pupa Peter sudah menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Tawau selama dua tahun lapan bulan.

“Jadi kini Peter akan ditukar ke IPK sebagai Timbalan Ketua Siasatan Jenayah, Siasatan dan Perundangan adalah satu jawatan yang amat penting dalam jabatan siasatan jenayah,” katanya.

Jasmin merupakan anak jati Tawau, berhasrat memperkasakan lagi penugasan PDRM untuk kesejahteraan penduduk di daerah ini.

“Hasrat saya adalah membawa kesejahteraan di daerah ini dari segi pencegahan jenayah, dadah dan juga isu-isu yang berkaitan dengan persempadan dengan negara jiran Indonesia.

“Jadi banyak isu yang kita akan pantau dan kita akan lihat dalam mencari jalan yang terbaik untuk menjaga Tawau menjadi daerah yang sejahtera,” katanya.

Untuk rekod, Tawau adalah kawasan yang paling hampir dengan sempadan negara jiran Indonesia dan Filipina yang sering menjadi tumpuan untuk aktiviti penyeludupan dan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|