JANS digesa selesai segera masalah bekalan air di Sipitang

JANS digesa selesai segera masalah bekalan air di Sipitang

Sipitang: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa supaya segera menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang dihadapi hampir 16,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin, Sani Miasin berkata, masalah gangguan bekalan air telah berlaku sejak 30 November lalu, disebabkan kerosakan pam air di Loji Rawatan Air Kampung Ulau.

Sani Miasin

Menurut beliau, tujuh hari berlalu dan sehingga kini masalah bekalan air gagal diselesaikan oleh JANS sehingga menimbulkan kemarahan penduduk di kampung yang terjejas.

“Ini kerana ketiadaan bekalan air bersih amat menyusahkan kehidupan harian penduduk kampung. Perniagaan, khususnya gerai-gerai makan dan kedai kopi, juga turut terjejas.

“Walaupun JANS ada menghantar air menggunakan sebuah lori tangki air bersih dari Beaufort, dan sebuah lagi lori tangki Majlis Daerah Sipitang, namun ianya tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengguna yang ramai.

“Tambahan pula lokasi kampung-kampung yang terjejas berjauhan menyebabkan penggunaan dua lori tangki menghantar air tidak mencukupi untuk kegunaan pengguna.

“Justeru, JANS perlu menghantar air menggunakan lebih banyak lori tangki air bersih ke kampung-kampung yang terjejas, memandangkan masih belum ada tanda kerosakan pam air dapat dibaiki dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan dan kemarahan penduduk kampung di media sosial berikutan masalah gangguan bekalan air yang tiada kesudahan setelah masuk hari ketujuh.

Berdasarkan data yang diterima, katanya, gangguan bekalan air berlaku di sebanyak 25 buah kampung iaitu dari Mukim Sindumin dan Mukim Mesapol.

Jelasnya, Mukim Mesapol melibatkan Kampung Melalia, Kg Sungai Tiga, Kg. Pasir Putih, Kg.Merambai, Kg Ulu Sipitang, Kg.Kalamauh, Kg Guruh-Guruh, Kg.Buang Sayang, Kg.Menengah, Kg.Aru Sembilan, Kg.Muhibbah, Kg.Pelakat, Kg.Pelakat Skim, Kg.Merintaman, Kg.Naparan dan Kg.Padang Berampah.

Sementara kampung dalam Mukim Sindumin yang terjejas ialah Kampung Bangsal, Kg.Lubang Buaya, Kg.Pantai, Kg.Tanjung Nipis, Kg.Ranau-Ranau, Kg.Bahagia, Kg.Seri Menanti, Kg. Kawang Lama dan Kg. Skim Sindumin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa JANS perlu mempunyai perancangan jangka panjang dalam menyelesaikan masalah air di DUN Sindumin, termasuk menggantikan pam air yang baharu pada loji-loji rawatan air sedia ada.

“Kerajaan perlu percepatkan pembinaan loji rawatan air yang baharu memandangkan loji sedia ada tidak mampu menampung permintaan air semakin meningkat.

“Masalah air dalam DUN Sindumin telah berlaku sejak sekian lama dan tidak ada penyelesaian yang tuntas oleh JANS. Rakyat berharap masalah tu dapat diselesaikan oleh Kerajaan secara menyeluruh,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|