Isteri maut, suami dan dua anak cedera kemalangan di Kudat

Isteri maut, suami dan dua anak cedera kemalangan di Kudat

Kudat: Seorang wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Simpang Kampung Tungkang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Elena Kolonjan, 50, duduk di bahagian penumpang hadapan Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi.

Kemalangan dua kenderaan di Jalan Simpang Kampung Tungkang, Kudat

Suami mangsa berusia 59 tahun yang memandu kereta berkenaan dan dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan berusia 9 dan 7 tahun cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan babitkan Perodua Myvi dan kenderaan jenis Toyota Land Cruiser itu pada 11.27 pagi.

Keadaan kemalangan dua kenderaan hingga mengorbankan seorang wanita di di Jalan Simpang Kampung Tungkang, Kudat.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan(EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Terdapat empat mangsa dalam Perodua Myvi dengan seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala tiga lagi cedera termasuk pemandu.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutya, tiga mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di tempat kejadian seterusnya dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

“Lima mangsa yang berada di kenderaan Toyota Land Cruiser berusia tujuh hingga 42 tahun dilaporkan selamat.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di tempat kejadian, operasi ditamatkan pada jam 1.20 tengah hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|