Gempar penemuan mayat wanita

Gempar penemuan mayat wanita

Kota Kinabalu: Penduduk di Kampung Peringatan di sini, gempar selepas penemuan mayat seorang wanita lengkap berpakaian di kawasan lapang berhampiran Sungai Petagas, hari ini.

Mayat wanita berusia 41 tahun terbabit ditemui kira-kira 2 petang oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Mohd Zaidi Abdullah bersama pegawai polis menjalankan pemeriksaan di lokasi penemuan mayat wanita di kawasan lapang berhampiran Sungai Petagas, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, turut dikerah ke lokasi kejadian adalah Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah bagi membantu siasatan.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE bagi tujuan siasatan lanjut.

“Setakat ini, siasatan mendapati mangsa adalah warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan tinggal di kawasan Putatan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian termasuk mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang kecederaan yang dialami mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk membantu siasatan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|