Kota Kinabalu: Jemaah Kabinet negeri bersetuju terhadap cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri Sabah memegang jawatan kepada hanya dua penggal.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata perkara itu sudah dibincangkan jemaah Kabinet negeri sebelum ini dan dipersetujui.
Bagaimanapun, katanya cadangan itu perlu disokong semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Perlembagaan Negeri sebelum boleh dilaksanakan.
“Sebenarnya jemaah Kabinet telah meluluskan cadangan ini pada dasarnya dan sekiranya kesemua ahli Yang Berhormat setuju dan menyokong cadangan ini, kita akan bawa perkara ini pada Persidangan DUN akan datang untuk meminda Perlembagaan Negeri,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO – Kadamaian) sama ada kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada hanya dua penggal.
Abidin berkata, cadangan berkenaan memang baik, malah katanya kerajaan Pusat juga ada cadangan untuk mengehadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.
“Di negara barat yang maju seperti Amerika Syarikat dan yang lain, mereka juga mengehadkan tempoh pelantikan Presiden atau Perdana Menteri mereka masing-masing.
“Sekiranya semua setuju terhadap cadangan ini, kita akan bawa ke Persidangan DUN akan datang,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN – Usukan) mengenai kesannya terhadap perlembagaan sedia ada, Madingkir berkata perkara itu diserahkan kepada pegawai perundangan negeri.
Abidin turut menjelaskan sekiranya tiada sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), cadangan berkenaan tidak akan direalisasikan.
“Seperti saya nyatakan tadi, jemaah Kabinet meluluskan pada dasarnya cadangan ini, jadi sokongan semua wakil rakyat diperlukan dan sekiranya sokongan tiada ia tidak direalisasikan,” katanya.
-Deasoka