DUN Sabah: Jalan berlubang di bandar Sandakan, lori pun muat dalam lubang

DUN Sabah: Jalan berlubang di bandar Sandakan, lori pun muat dalam lubang

Kota Kinabalu: Isu berkaitan perkhidmatan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang tidak memuaskan pembayar cukai di bandar Sandakan mendapat perhatian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain masalah sampah di darat dan di perairan, isu rumput panjang dan jalan berlubang yang digambarkan boleh memuatkan kenderaan sebesar lori dan bas mini adalah antara isu yang dibangkitkan.

Turut diungkit ialah peranan Councillor atau Ahli MPS yang didakwa tidak berfungsi selain tidak dikenali oleh penduduk atau pembayar cukai di bandar Sandakan.

Isu terbabit disuarakan ketika sesi soal jawab oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di kawasan Sandakan, Datuk Frankie Poon Ming Fung (DAP – Tanjung Papat), George Hiew (WARISAN – Karamunting) dan Calvin Chong (Bebas – Elopura).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika menjawab soalan tambahan berkaitan isu terbabit berkata beliau yakin pendedahan semua ADUN terbabit mendapat liputan meluas media dan ia seharusnya menyedarkan pihak MPS.

“Apa yang didedah hari ini saya yakin akan disiarkan secara meluas. Kalau inipun MPS tidak bertindak, saya tidak tahulah.

“Kalau lubang itu, sayapun tidak tahu lubang apa itu, MPS yang patut buat, dia kena buat dan kalau ia di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), saya akan minta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pergi lihat lubang berkenaan,” katanya.

Masidi turut mengulas mengenai pemilihan Ahli MPS yang katanya dibuat oleh pemimpin di kawasan berkenaan yang sepatutnya berkhidmat dengan baik sejajar fungsi mereka sebagai ahli majlis.

“Kita ada garis panduan pemilihan ahli majlis dan semestinya mereka mestilah yang dapat memberi khidmat kepada rakyat, itu yang penting.

“Siapa yang lantik ahli majlis tidak berkualiti, ia boleh jejas imej mereka juga tidak kira mereka ada kepakaran profesional atau tidak.

“Ada orang politik juga mempunyai kepakaran profesional seperti arkitek, jadi tiada masalah. Apa yang penting ialah berkhidmat tanpa cenderung kepada politik tapi berikhdmatlah kepada masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|