Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu terus menunjukkan penurunan

Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu terus menunjukkan penurunan

Kota Kinabalu: Jangkitan baharu Covid-19 di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 280 kes kepada 1,235 kes hari ini, berbanding 1,515 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 21 daerah mencatat penurunan jumlah kes harian dengan lima daripadanya menunjukkan penurunan agak banyak iaitu Kota Kinabalu (-127), Keningau (-32), Kota Marudu (-31), Kota Belud (-22) dan Tawau (-22).

Bagaimanapun, katanya beberapa daerah terus merekodkan bilangan kes baharu yang lebih tinggi berbanding semalam termasuk daerah Papar yang mencatat 141 kes baharu dengan pertambahan sebanyak 54 kes berbanding semalam.

“Papar juga menjadi penyumbang kes kedua tertinggi selepas Kota Kinabalu dengan 72.3 peratus daripada kes terbabit adalah melalui jangkitan sporadik.

“Peratusan kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 65.02 peratus daripada keseluruhan kes baharu di Sabah hari ini.

“Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas apabila 22 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan kes simptomatik (bergejala) sebagai kategori tertinggi kes baharu di daerah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi berkata, jangkitan sporadik mudah berlaku dan merebak dengan cepat dan atas faktor itu semua golongan masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.

Katanya, sebanyak 1,221 atau 98.87 peratus daripada 1,235 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, masing-masing lima kes dalam Kategori 3 dan 4, manakala empat kes dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 7 Mac 2022
Sabah 1,235 (1,515)

Kota Kinabalu 352 (479)
Papar 141 (87)
Penampang 128 (103)
Tuaran 117 (133)
Beaufort 49 (32)
Tawau 46 (68)
Keningau 44 (76)
Sipitang 41 (37)
Kota Marudu 33 (64)
Tambunan 29 (41)
Kota Belud 27 (49)
Kuala Penyu 26 (45)
Lahad Datu 26 (24)
Sandakan 25 (43)
Tenom 25 (38)
Ranau 18 (30)
Kudat 17 (32)
Putatan 14 (28)
Pitas 13 (23)
Telupid 11 (12)
Nabawan 11 (18)
Kalabakan 11 (1)
Kinabatangan 10 (12)
Beluran 8 (18)
Tongod 8 (12)
Kunak 3 (4)
Semporna 2 (6)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 6 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|