BN tetap sokong GRS, kekal pendirian sebagai rakan sekutu – Bung Moktar

BN tetap sokong GRS, kekal pendirian sebagai rakan sekutu – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun tidak berada dalam gabungan yang baru dibentuk secara rasmi minggu lalu itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut mengulangi pendirian BN untuk terus menjadi rakan sekutu GRS demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik Sabah.

Beliau turut menyatakan harapannya agar GRS dan BN Sabah dapat mengekalkan kerjasama membangunkan negeri sejajar tujuan asal penubuhan gabungan itu iaitu untuk kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Memandangkan BN adalah sebuah gabungan yang terdiri daripada parti komponen lain, tindakan menyertai sebuah gabungan lagi tidak sesuai namun ia bukan penghalang untuk BN Sabah menjalin kerjasama dengan GRS demi pembangunan negeri.

“Saya berharap GRS dan BN Sabah dapat memainkan peranan yang penting bagi bersama-sama membangunkan Sabah ke arah yang lebih baik bagi mengangkat ekonomi negeri serta rakyat di negeri ini,” katanya.

Jumaat lalu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembentukan GRS yang secara rasmi terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN Sabah dan PAS tidak berada dalam gabungan berkenaan tetapi bekerja sama dengan GRS untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

Selain UMNO, BN Sabah turut merangkumi MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)

Sementara itu, Bung Moktar berkata pembentukan GRS secara rasmi sebagai sebuah entiti baharu politik di Sabah menyaksikan kedudukan Perikatan Nasional (PN) Sabah tidak lagi berfungsi setelah parti komponennya di negeri ini menyertai GRS.

“Tidak logik untuk sebuah parti mempunyai dua gagasan yang dilihat hanya akan membawa kemudaratan dan komplikasi lain, justeru secara rasionalnya PN Sabah tidak lagi wujud dengan adanya GRS,” katanya.

GRS dibentuk secara tidak rasmi dengan kerjasama PN, BN dan PBS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) pada September 2020 sebelum berjaya membentuk kerajaan selepas menewaskan Parti Warisan (WARISAN) yang bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|