BERSATU Sabah diberi autonomi urus parti sendiri – Masidi

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah memang diberikan autonomi sejak dari awal untuk menguruskan parti itu sendiri di negeri ini.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiada masalah BERSATU Sabah sebagai sebuah parti nasional berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Masidi dan Jeffry bersama Hajiji ketika majlis pelancaran GRS di SICC, Kota Kinabalu.

“Dari awal telah dinyatakan, BERSATU Pusat telah memberikan kita banyak budi bicara untuk menguruskan diri sendiri (Bersatu Sabah) sejak awal walaupun tidak dinyatakan dengan jelas tetapi saya andaikan bahawa kita diberi autonomi secara tidak langsung.

“Saya fikir ini sudah cukup memadai bagi kita untuk membentuk gabungan-gabungan dan salah satu gabungan kita lancarkan hari ini adalah GRS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kedudukan BERSATU sebagai sebuah parti nasional yang kini berada di dalam GRS.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan berpandangan bahawa mereka kekal berada dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun sudah berada dalam GRS.

“PN berada dalam komponen nasional dan kita masih sebahagian daripadanya setakat ini tiada perubahan,” katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS mahu penubuhan GRS sebenarnya mahu memperkukuhkan politik tempatan.

“Jadi kita akan menyumbang kepada kestabilan (politik) nasional,” kataya.

Terdahulu, GRS secara rasmi dilancar hari ini oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|