Kanak-kanak petah bertutur bahasa Kadazandusun juara pertandingan Little Glam Kaamatan 2022

Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun berjaya memukau juri sehingga berjaya merangkul gelaran juara dengan menewaskan 40 peserta lain dalam Pertandingan Little Glam Kaamatan 2022 di sini baru-baru ini.

Kepetahan Recarly Shavenley Roger yang berasal dari Tambunan bertutur dalam bahasa ibunda Kadazandusun ketika memperkenalkan diri dalam pertandingan itu berjaya memikat hati juri.

Recarly berjaya merangkul gelaran juara Pertandingan Little Glam Kaamatan 2022 yang diadakan Palm Square, pusat beli belah Centre Point Sabah, Kota Kinabalu.

Pertandingan yang diadakan di Palm Square, pusat beli belah Centre Point Sabah dan Recarly membawa pulang mahkota, trofi, selempang, hamper dan hadiah wang tunai.

Sementara itu, naib juara dimenangi oleh Melody Chia, 9, dari Kota Kinabalu dan tempat ketiga dimenangi oleh Joy Crystal Han, 11, dari Penampang.

Peserta turut bertanding untuk mendapat tiga gelaran khas, iaitu Miss Popular yang dimenangi oleh Queenvania Prescilya, 12, dari Papar; Pakaian Terbaik dimenangi oleh Melody Chia; dan Persembahan Terbaik dimenangi oleh Recarly Shevanley Roger.

Ketua Pasukan Pemasaran Acara Pusat Beli-belah Centre Point Sabah, Dymna Michael berkata, pertandingan Kaamatan Little Glam 2022 kali ini diadakan di kawasan terbuka di dalam pusat beli belah selepas pertandingan itu dijalankan secara dalam talian sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pertandingan itu menyaksikan peserta kanak-kanak berusia seawal tiga hingga 12 tahun dan cuba bersaing untuk merebut gelaran juara.

“Selepas dua tahun Pertandingan Little Glam Kaamatan diadakan secara dalam talian kerana pandemik dan memandangkan kita sudah berada dalam fasa endemik, pihak pengurusan mengambil peluang ini untuk mengadakan pertandingan di kawasan lapang dewan acara tingkat empat pusat beli-belah ini.

“Dengan cara ini, kami akhirnya boleh mendapatkan semula semangat sambutan Kaamatan di pusat beli-belah ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pertandingan itu diadakan setiap tahun pada musim Pesta Kaamatan dan peluang sentiasa terbuka untuk semua.

“Kepada mereka yang tidak berjaya menyertai atau memenangi pertandingan tahun ini, jangan bersedih kerana kami akan menjadikan pertandingan ini sebagai pertandingan tahunan pada musim Kaamatan,” katanya.

Terdahulu, Leading Management turut bekerjasama dengan pihak pengurusan Centre Point Sabah dalam menganjurkan Pertandingan Little Glam Kaamatan 2022 di mana dalam pertandingan ini peserta turut merebut gelaran khas oleh Leading Management iaitu Anugerah Media Sosial menerusi undian secara dalam talian.

Pengumuman pemenang akan dibuat pada Isnin depan di halaman Facebook rasmi Leading Management dan orang ramai boleh melayari laman Facebook Leading Management untuk maklumat lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|