Putatan: Bukan saja terpaksa berdepan dengan kenaikan harga telur ayam tetapi peniaga turut mendakwa bahawa bekalan bahan makanan itu turut berkurangan sejak minggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan peniaga berada di dalam dilema kerana bukan saja terpaksa menjual telur ayam dengan harga yang lebih mahal tetapi juga terpaksa mengehadkan penjualan terutama kepada pengusaha restoran yang menjadi pelanggan tetap sejak sekian lama.

Rumia Parsin, 38, berkata, sejak minggu lalu bekalan telur ayam berkurangan daripada pengilang atau pembekal menyebabkan mereka hanya menerima sekitar 150 hingga 200 papan sehari berbanding 500 papan sebelum ini.
“Keadaan ini mendesak kami supaya mengehadkan bekalan kepada pengguna terutama pelanggan tetap yang juga pengusaha restoran di sekitar daerah ini.
“Kami terpaksa bahagi-bahagikan bekalan telur kepada pelanggan lain yang datang ke pasar supaya mereka pun boleh mendapat bekalan bahan makanan itu,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Putatan, di sini, hari ini.
Tambah Rumia lagi, kenaikan harga telur yang semakin ketara juga menyebabkan mereka turut berdepan dengan keadaan serba salah kerana terpaksa menjualnya dengan harga yang mahal.
“Kami cuma ambil untung sekitar 60 sen hingga RM1 saja bagi setiap satu papan telur mengikut gred telur berkenaan.
“Tetapi telur ayam ini harganya di bawah kawalan jadi kami tidak boleh menaikkan sewenang-wenangnya dan mesti mengikut harga yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum itu, tinjauan mendapati peniaga mengalami kekurangan bekalan telur ayam sejak minggu lalu disebabkan keadaan semasa selain turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
-Deasoka