24 pemain bawa cabaran SBA

24 pemain bawa cabaran SBA

Kota Kinabalu: Seramai 24 pemain negeri ini membawa cabaran Persatuan Badminton Sabah (SBA) pada Kejohanan Badminton 100 Plus Junior Elit Tour Final di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur bermula esok hingga 7 Ogos depan.

Semua pemain itu membabitkan beberapa kategori iaitu perseorangan serta beregu lelaki dan perempuan berusia 12, 14 dan 16 tahun.

Presiden SBA, Janih Bangud berkata, skuad negeri ini turut disertai dua orang jurulatih, seorang pengurus pasukan dan pegawai pengiring.

Katanya, beliau yakin dengan persediaan dari segi fizikal dan mental, pemain akan mampu menunjukkan prestasi cemerlang.

“Kita berharap semua pemain dapat mempamerkan prestasi cemerlang yang konsisten sebagaimana mereka tunjukkan dalam dua siri kejohanan sebelum ini.

“Kerjasama baik antara semua pihak terutama jurulatih dan ibu bapa juga sudah pasti akan dapat meningkatkan lagi pencapaian pasukan ini di pusingan akhir ini nanti,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Janih berkata, Pasukan Sabah yang diiringi pengurus pasukan, Hasniah AM Nawir, sudah berlepas ke ibu negara pagi tadi.

Sementara itu, Janih turut merakamkan penghargaan kepada pegawai Majlis Sukan Negeri (MSN) Azril Fakhree Khainih dan penaja FLYPOWER.

“Tidak lupa juga kepada Wan Nur Muhammad Wan Mustafa dari WKW Eramaju Sdn Bhd yang sentiasa menyokong, membantu dan menaja keperluan serta kelengkapan pemain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|