Kota Kinabalu: Tiga tonggak kebangsaan dijangka hadir menyertai sesi latihan pasukan Sabah FC, 10 Januari depan.
Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata, tiga pemain terbabit adalah Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan dan Rizal Ghazali.
Katanya, mereka mengesahkan akan menjalani latihan bersama Sabah FC dalam tempoh terdekat.
“Hari ini merupakan sesi pertama..Kita ada tiga fasa untuk bersiap sedia menghadapi latihan pra musim. Apa yang penting ini adalah persiapan rapi untuk kita menghadapi Liga Malaysia musim hadapan.
“Kita yakin dengan kehadiran tiga pemain itu nanti akan memperkukuhkan lagi kekuatan Sabah FC. Kita jangka mereka sampai pada 10 Januari depan,” katanya dalam satu kenyataan media semasa sesi latihan pertama Sabah FC hari (Isnin) ini.
Kim Swee berkata Sabah FC akan memulakan latihan secara berperingkat-peringkat bagi menyesuaikan peranan serta menyusun semula posisi dan keserasian semua pemain.
“Dalam minggu pertama tidak banyak yang kita akan lakukan kecuali mendapatkan balik rentak agar semua pemain dapat bersama-sama bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang,” katanya.
Seramai 20 pemain termasuk beberapa muka baharu yang berjaya diikat Sabah FC untuk musim depan hadir pada sesi latihan pertama di Padang Sintetik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.
-Deasoka