Kota Kinabalu: Sabah gagal mengulangi dua kemenangan aksi kumpulan di Stadium Likas selepas tewas 1 – 0 di tangan Melaka United FC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia 2021, malam ini.
Jaringan tunggal pemain import Melaka, Sony Norde pada minit ke-51 itu sekali gus mengecewakan harapan lebih 7,000 penyokong yang hadir di Stadium Likas.
Melaka dari awal lagi beraksi agresif melakukan serangan ke atas gawang Sabah, namun pertahanan Sang Badak berjaya mematahkan setiap cubaan sehingga tamat babak pertama.
Secara keseluruhan, Melaka melakukan empat cubaan termasuk satu cubaan yang hampir menjaringkan gol sepanjang babak pertama.
Pemain import Sabah, Park Taesu cuba melepasi halangan pemain Melaka dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, malam ini. Pix ihsan Sabah FC
Walaupun lebih banyak bertahan, skuad Sang Badak masih berpeluang melakukan cubaan melalui serangan balas dengan sekurang-kurangnya satu cubaan pada babak pertama, namun gagal menghasilkan gol.
Bersambung babak kedua, Sabah FC dilihat lebih agresif dan melakukan banyak serangan serta cubaan, namun gagal menepati sasaran.
Antara aksi pemain Sabah FC menentang Melaka United di Stadium Likas. Pix ihsan Sabah FC
Gawang Sabah akhirnya bolos menerusi sepakan Sony dari luar kotak penalti selepas penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim gagal membaca pergerakan bola pada minit ke-51.
Kedudukan 1 – 0 itu kekal hingga minit akhir perlawanan sekali gus membolehkan Melaka membawa pulang tiga mata.
Usaha Sabah menguasai perlawanan pasti sukar menerusi aksi kedua suku akhir di Stadium Hang Jebat, Melaka, Khamis ini.
-Deasoka