Sabah menang 32 pingat Pertandingan Wushu Remaja Kebangsaan KPM-MILO 2021

Sabah menang 32 pingat Pertandingan Wushu Remaja Kebangsaan KPM-MILO 2021

Sandakan: Kejayaan pasukan Sabah memenangi 32 pingat dalam Pertandingan Wushu Remaja Kebangsaan KPM-MILO 2021 baru-baru ini disifatkan sebagai pencapaian yang sangat membanggakan.

Presiden Persatuan Wushu Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, kejayaan merangkul 18 pingat emas, sembilan perak dan lima gangsa itu membuktikan sukan wushu mempunyai masa depan yang cerah di Sabah.

“Seramai 16 pelajar yang mewakili pasukan Sabah mengambil bahagian dalam tiga kategori pada pertandingan itu yang telah dilangsungkan secara dalam talian.

“Peserta kita berjaya merangkul 18 pingat emas, sembilan pingat perak dan lima pingat gangsa. Saya mengucapkan syabas kepada semua peserta, pengurus pasukan, Master Lee Hon Yu dan semua jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan yang dicapai pasukan Sabah dalam pertandingan itu yang berakhir minggu lalu.

Kim Hiung jugs berharap Persatuan Wushu Sabah akan meneruskan usahanya mempromosi seni mempertahankan diri tradisional kaum Tionghua itu kepada remaja tanpa mengira kaum di negeri ini.

“Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti Wushu bagi mengisi masa lapang atau untuk beriadah kerana antara faedah bersukan kepada ialah ia dapat meningkatkan disiplin murid.

“Penglibatan dalam sukan juga membolehkan golongan remaja kita berfikiran positif, berkeyakinan diri dan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka untuk menyertai aktiviti Wushu boleh menghubungi jurulatih Lee Tsun Kee (016 847 7670) di Kota Kinabalu dan Taylor Lim (017 566 6835) di Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|