Kota Kinabalu: Sabah mengutip RM1.25 bilion cukai jualan produk petroleum daripada PETRONAS sejak cukai berkenaan mula dikutip pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu merangkumi RM177.88 juta yang dikutip pada tahun lalu dan RM1.07 bilion dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Katanya, kutipan cukai jualan petroleum adalah antara RM3.83 bilion hasil negeri berjaya dikutip pada tahun ini setakat 31 Ogos lalu.
Beliau juga berkata, jumlah itu melebihi sasaran kutipan yang ditetapkan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini dengan pencapaian 120 peratus.
Jelasnya, pembayaran cukai jualan petroleum adalah antara perkara yang diberikan tumpuan apabila kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan negeri pada 29 September tahun lalu.
“Sebaik saja mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri, dalam mesyuarat rasmi pertama saya bersama Perdana Menteri ketika itu, antara persetujuan yang dicapai ialah untuk memastikan PETRONAS memulakan pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum pada kadar segera,” katanya pada Majlis Setahun GRS Bersama Rakyat, di sini, hari ini.
Majlis sempena setahun pentadbiran kerajaan GRS itu dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk gabungan berkenaan, antaranya Ketua UMNO Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Yang turut hadir ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Semetara itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata selain cukai jualan produk petroleum, kerajaan turut meningkatkan kutipan dividen badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menambah hasil negeri.
Bagi tujuan itu, katanya sebanyak RM100 juta disasar dikutip daripada GLC dan badan berkanun negeri pada tahun ini dengan RM25.72 juta sudah berjaya dikutip sehingga bulan ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan GRS juga terus berusaha mempelbagai sumber hasil negeri termasuk melalui inisiatif perdagangan kredit karbon, hasil baharu sumber mineral dan menghidupkan semula aktiviti ekonomi serta menggalakkan kitaran wang melalui perbelanjaan isi rumah.
“Atas sebab itulah kerajaan negeri mengambil keputusan tegas untuk lebih awal membuka semula aktiviti ekonomi. Tindakan ini dibuat atas kesedaran bahawa kita perlu bersedia untuk menjalani kehidupan ketika pandemik COVID-19 masih berada di persekitaran kita.
“Kerajaan mungkin boleh terus menyalurkan bantuan sekiranya kita memilih untuk terus menutup aktiviti ekonomi, namun bantuan terhad itu tidak akan dapat memulihkan sosio-ekonomi dan kualiti hidup rakyat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.
-Deasoka