
Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony dijangka membuat pengumuman penting berkaitan halatuju politiknya dalam satu sidang media khas, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu dijadual mengadakan sidang media khas di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) jam 12.30 tengah hari nanti.
Peter dikatakan bakal meninggalkan WARISAN untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menubuhkan parti baharu bagi meneruskan perjuangan politiknya.
Beliau juga mungkin menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kadazandusun Murut (KDM) Malaysia yang diketuainya untuk bergerak jika keluar WARISAN.
Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berumur 50 tahun itu kini berdepan kes pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan diperintah membela diri pada 3 hingga 7 Januari ini.
Khabar angin turut tersebar sejak beberapa hari lalu mengenai beberapa lagi wakil rakyat pembangkang termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal bersama Peter meninggalkan parti masing-masing.
Mereka termasuklah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau dan ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew serta seorang lagi ADUN PKR, Peto Galim (Inanam).
Spekulasi itu turut diakui Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan PKR Sabah, Razeef Rakimin, mengatakan khabar angin berkenaan turut diterimanya sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, menerusi kenyataannya semalam, Razeef enggan mengiyakan atau tidak spekulasi berkenaan, sebaliknya mengutuk perbuatan pemimpin yang terlalu berpolitik ketika rakyat masih berdepan kesukaran hidup disebabkan pandemik COVID-19 dan banjir.
Sehingga kini, WARISAN sudah kehilangan tiga wakil rakyat bermula dengan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir pada Februari lalu, diikuti ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi pada Oktober lalu.
-Deasoka