Pelancongan Eko Lingga mampu tarik peminat pengembaraan

Pelancongan Eko Lingga mampu tarik peminat pengembaraan

Kiulu: Berlatarbelakangkan kehijauan bukit-bukau, Pusat Pelancongan Eko Lingga (LET) dilihat mampu menarik peminat aktiviti pengembaraan yang gemar menerokai laluan ‘trekking’ luar bandar.

Pusat pelancongan berasaskan komuniti yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Kiulu itu menawarkan aktiviti ekstrem dan rekreasi secara santai kepada pengunjung.

Pengerusi LET Kait Lansangan berkata, sejak ditubuhkan pada 2018, pusat berkenaan sudah menerima kira-kira 4,000 pelawat, termasuk pelancong dari Kanada, United Kingdom dan Korea.

Katanya, kebanyakkan mereka berminat untuk meneroka destinasi luar bandar dan melihat kepada potensi destinasi pelancongan berasaskan komuniti itu, penduduk kampung bekerjasama membuat laluan ‘trekking’ di Bukit Dapako.

“Laluan sejauh tujuh kilometer itu menjadi popular dalam kalangan pengembara tempatan dan ramai pelawat yang merekodkan pengalaman mereka dan sekaligus mempromosikan laluan trekking Dapako Hill di media sosial.

“Kebanyakkan pelancong antarabangsa yang datang ke LET mengetahui tempat ini menerusi YouTube dan ia dapat membantu aktiviti pelancongan di Kampung Lingga dan membantu menambah pendapatan kepada penduduk kampung,” katanya.

Kait berkata, bagi peminat pengembaraan dengan aktiviti ekstrem, pusat pelancongan berasaskan komuniti ini membuka laluan baru sejauh 8.5 kilometer yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman mendaki laluan curam.

Katanya, antara aktiviti lain yang terdapat di LET adalah abseiling, flying fox, berakit, berkhemah dan berenang.

“Dalam usaha memperkasa penduduk kampung, LET turut menubuhkan unit kebajikan untuk menyumbang kembali kepada komuniti.

“Melalui unit ini, LET mampu menghulurkan wang sumbangan kepada keluarga yang ditimpa musibah termasuk kematian, membantu penduduk kampung membayar kos kemasukan hospital dan memberi elaun kepada pelajar yang memasuki sesi pengajian tinggi.

“Walaupun pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan komuniti, kami tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti pelancongan di kampung ini. Diharapkan lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negeri akan datang ke pusat pelancongan kami,” katanya.

Kait berkata, mereka amat berterima kasih kepada Lembaga Pelancongan Sabah dan Persatuan Pelancongan Kiulu kerana banyak membantu dalam membangunkan produk kami.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Jonistan Bangkuai, melawat Kampung Lingga untuk melancarkan dewan serbaguna LET dan menyerahkan bantuan Sabah New Deal.

Dewan terbuka LET itu adalah antara 32 projek membina dan menaik taraf infrastruktur pelancongan luar bandar di bawah Perjanjian Baru Sabah untuk Kiulu, dengan jumlah bantuan kewangan keseluruhan sebanyak RM640,000.

Dalam lawatan itu, Joniston turut memuji inisiatif dan komitmen pengusaha yang menganjurkan pelancongan berasaskan komuniti Kampung Lingga dan boleh menjadi contoh kepada pengusaha pelancongan luar bandar yang lain.

“Limpahan ekonomi hasil pembukaan pusat pelancongan di kampung ini dilihat mampu membantu ramai keluarga. Inilah yang kita mahu lihat, iaitu orang kampung mendapat faedah.

“Sememangnya konsep pelancongan berasaskan komuniti ini dapat membantu meningkatkan semangat kesatuan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung, meningkatkan ekonomi rakyat, dan meningkatkan kesedaran kebersihan alam sekitar.

Joniston berkata, Lembaga Pelancongan Sabah juga mahu melihat Sabah menjadi contoh bagi pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti.

Katanya, banyak pihak yang datang ke Sabah untuk melihat bagaimana kita beroperasi dan diharapkan pemain industri antarabangsa akan berbuat demikian juga pada masa depan.

Sementara itu, Joniston turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM220,000 untuk menubuhkan Pusat Informasi Pelancongan Kiulu.

Ia bagi membantu memberi perincian kepada pengunjung mengenai tarikan pelancongan dan penginapan yang terdapat di sekitar Kiulu serta Tamparuli.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|