Naik taraf tamu Beluran siap Mei 2022

Naik taraf tamu Beluran siap Mei 2022

Beluran: Projek Naiktaraf Pasar Tamu Beluran dijangka siap pada pertengahan Mei tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membabitkan kos sebanyak RM746,000 melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Usaha berterusan oleh FAMA dalam usaha mentransformasikan gerai-gerai di pasar tamu ini akan memberikan manfaat kepada 170 peserta sedia ada.

“Selain itu, kita berharap agar ia dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung di daerah ini serta membantu pengusaha-pengusaha kecil bagi memasarkan hasil keluarkan mereka sendiri.

“Setelah siap dinaik taraf, pentadbiran pasar tamu ini akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Projek Naiktaraf Pasar Tamu Beluran, di sini, hari ini.

Menurut Ronald, dua pasar tamu di negeri ini telah dinaik taraf iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat manakala Pasar Tamu Kunak masih dalam proses pembinaan yang dijangka siap pada Mac 2022.

Tambah beliau, FAMA juga sudah mengenal pasti tapak Pasar Tamu Tuaran sebagai lokasi untuk dinaik taraf pada tahun 2022 dan ia dipersetujui oleh Majlis Daerah Tuaran.

Terdahulu, Ronald turut berkesempatan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 500 penduduk di tiga pulau iaitu Pulau Kaniogan, Pulau Bukit Besi dan Pulau Tetabuan.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Dato Zainal Abidin Yang Razalli.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|