Media peranan penting dalam penyampaian maklumat

Media peranan penting dalam penyampaian maklumat

Sipitang: Media sosial adalah elemen yang memainkan peranan penting kepada penyampaian maklumat daripada rakyat kepada kerajaan dan sebaliknya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Sani Miasin berkata, masyarakat sepatutnya menggunakan elemen ini untuk menyuarakan setiap permasalahan menerusi media sosial.

Katanya, ini berikutan peranan media sosial dalam dunia masa kini sangat efektif dan mampu mencapai objektifnya.

“Kursus pada hari ini adalah untuk memantapkan penerangan mengenai pentingnya media sosial.

“Seperti yang mana kita tahu media adalah satu badan yang memainkan peranan penting kepada penyampaian maklumat daripada rakyat kepada kerajaan dan juga kerajaan kepada rakyat pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kursus Pemantapan Jentera Akar Umbi (Bengkel Asas Penulisan di Media Sosial/Wartawan Rakyat) yang diadakan di pejabat UPPM Sindumin, hari ini.

Kursus yang disampaikan pengamal media Ruzaini Zulkepli itu adalah usahasama antara Pejabat UPPM Sindumin dan Tuntas Media Sdn Bhd.

Menurutnya, setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mesti mempunyai satu platform yang berhubung kait dengan media.

Ini kerana katanya, setiap aktiviti di setiap peringkat perlu dimaklumkan selain melaporkan masalah-masalah rakyat kepada peringkat atasan.

“Kita tengok juga pada hari ini, semua masyarakat bukan saja di kampung dan bandar, semua pihak termasuk yang berhormat serta menteri semua menggunakan media sosial seperti facebook, instagram dan pelbagai media massa lain.

“Keadaan sudah berubah berbanding sebelum ini bila mana kebanyakkan orang kita membaca surat kabar dan mungkin surat surat rasmi.

“Tapi pada hari ini media adalah satu platform kepada masyarakat, untuk menyampaikan apa jua masalah mereka di peringkat akar umbi,” katanya.

Ceramah itu diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|