Kicap Sabah, teh Sabah, belacan Papar kini ada di Kuala Lumpur

Kicap Sabah, teh Sabah, belacan Papar kini ada di Kuala Lumpur

Kota Kinabalu: Produk tempatan Sabah terutamanya makanan yang sukar diperoleh di Semenanjung kini boleh didapati di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Antara produk tempatan yang dijual seperti kicap dan cuka cap Ayam dari Sabah, teh Sabah, belacan senandung Papar, cili giling Sabah dan kuih bangkit Sabah.

Amisah beramah mesra dengan pemilik Teratai Borneo, Marlina.

Semua produk itu dijual oleh usahawan berasal dari Tanjung Aru, Marlina Madjid, 37, yang kini mengorak langkah memperluaskan perniagaan ke Semenanjung.

Menurut pemilik Teratai Borneo itu, jiwa usahawan yang ada padanya mendorong untuk membawa produk tempatan ke Semenanjung.

Amisah melihat produk makanan daripada Sabah yang dijual di kedai Teratai Borneo semasa merasmi kedai itu di Kuala Lumpur.

“Barang-barang yang dijual di sini rata-rata adalah produk tempatan Sabah yang signifikan dengan identiti negeri di bawah Borneo dan pastinya dapat mengubat kerinduan anak-anak Sabah yang merantau di sini,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya lagi, produk yang dibawa ke kedainya itu dibawa khas dari Sabah dan beliau ingin memperkenalkan produk tempatan Sabah kepada pengguna luar.

“Kami mula membuka operasi jualan Teratai Borneo sejak 26 November lalu, bermula dari 7 pagi hingga 8 malam setiap hari dan kita juga bercadang untuk membuka cawangan di Klang, Selangor.

“Kita juga menjual ikan bilis mata biru yang memang mendapat permintaan tinggi serta ikan boulu tanpa tulang, ikan masin, ikan binsuluk, dan tidak lupa juga kopi Tenom,” katanya.

Jelas Marlina lagi, beliau turut menggunakan teknik pemasaran produk secara penghantaran terus kepada pembeli.

“Kita juga menjual produk kita secara dalam talian dan kita dapati kaedah jualan ini sangat berkesan dan membantu kita meningkatkan hasil jualan dan perniagaan, sekali gus mengelakkan lambakan produk yang tidak terjual, ” katanya.

Terdahulu, Teratai Borneo dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin.

Amisah meluahkan perasaan bangganya apabila anak jati Sabah, berani menyahut cabaran, merantau dan membawa produk tempatan untuk dipasarkan ke pasaran luar.

“Ini adalah suatu usaha yang amat membanggakan dan saya merasakan ini adalah titik permulaan untuk dijadikan inspirasi kepada lebih ramai anak jati kita untuk meneroka bidang keusahawanan dan mengorak langkah membawa hasil bumi kita ke luar, sekaligus membawa nama Sabah kepada pengetahuan ke tahap yang lebih luas,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan produk dari Sabah boleh berkunjung ke Teratai Borneo di alamat No 26A, Teratai Borneo, Jalan Raja Alang Kampung Baru, Kuala Lumpur yang terletak berhadapan dengan The Regency Hotel atau melalui Instagram dan Facebook Teratai Borneo.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|