Kota Kinabalu: Segelintir pihak adalah diingatkan untuk tidak sengaja menyalahtafsir isu ketetapan prosedur operasi standart (SOP) dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di negeri ini.
Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH), Yahya Ahmad (gambar) berkata, SOP MKN yang dikeluarkan tidak pun bercanggah dengan pendirian kerajaan negeri yang sudah pun melaksanakan beberapa kelonggaran termasuk membolehkan aktiviti dine-in.
“Kita mengingatkan mana-mana pihak tidak lagi mengelirukan orang ramai khususnya para peniaga.
“Hentikan SOP MKN untuk dipolitikkan, kita tidak perlu menyamakan atau membanding segala dengan SOP yang dikeluarkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, “katanya.
Jelas beliau, pihaknya maklum dengan pendekatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengelola pendekatan politik secara berhemah bagi membawa penyelesaian melibatkan dua pihak kerajaan secara tenang dan harmonis.
“Kita juga turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memahami niat baik Ketua Menteri dan hasrat Kerajaan negeri terhadap keutamaan kesejahteraan rakyatnya atas pendirian diambil,” katanya.
Yahya dalam pada itu berkata, pihaknya berpandangan soal peningkatan kes positif baik di Sabah sudah tentu mengambil kira usaha kerajaan melalui Jabatan Kesihatan melakukan pengawalan proaktif dengan saringan menyeluruh kepada komuniti yang diwartakan kawasan PKPD.
“Bagi kes di Selangor dan Kuala Lumpur juga rasanya lebih kurang faktor peningkatan kes baru sama selain saringan besar-besaran di kilang-kilang perusahaan.
“Ini bagi kita faktor peningkatan mendadak sementara untuk memudahkan kerajaan memahami punca penyumbang, disamping fokus mengerakkan pemantuan, penyaringan, pengawalan dan gerak kerja proses pemberian vaksin lebih dipertingkatkan,” katanya.
-Deasoka