Dua gudang penyimpanan minuman keras, mercun diserbu, rampasan bernilai hampir 1 juta

Dua gudang penyimpanan minuman keras, mercun diserbu, rampasan bernilai hampir 1 juta

Kota Kinabalu: Guna pakai premis tanpa nama sebagai gudang penyimpanan sementara barangan belum lulus kastam sebelum diedarkan dan dijual di pasaran sekitar.

Itu modus operandi yang dipercayai digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk mendapat keuntungan berlipat ganda.

Bagaimanapun, taktik berkenaan tidak bertahan lama apabila kedua-dua premis diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan merampas minuman keras serta mercun bernilai keseluruhan sebanyak RM979,850 termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdullah Jaapar berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 3 petang, 7 September lalu di Taman Kingland, Putatan, di sini.

Katanya, bertindak atas maklumat, JKDM Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu sebuah gudang berkenaan dan merampas 3,986 karton minuman keras pelbagai jenama.

“Semua minuman keras itu disyaki belum lulus kastam dengan anggaran nilai sebanyak RM119,277.18 dan cukai berjumlah RM489,410.66.

“Selain itu, dalam serbuan sama, pihaknya turut merampas 40,500 biji mercun pelbagai jenama yang juga disyaki belum lulus kastam.

“Semua mercun berkenaan bernilai sebanyak RM21,600 dengan anggaran cukai berjumlah RM12,906,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdullah berkata, bagi kes kedua pula, dijalankan pada 11 September lalu di sebuah gudang penyimpanan yang bertempat di HSK Bundusan, Penampang.

Katanya, hasil serbuan membawa kepada rampasan sebanyak 2,184 karton minuman keras pelbagai jenama yang membabitkan nilai sebanyak RM64,516.02.

“Kes kedua ini membabitkan nilai cukai sebanyak RM272,140.63,” katanya.

Abdullah berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun cukai Kastam atau RM100,000 mengikut jumlah yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000.00

“Pesalah juga boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Sebubungan itu, Abdullah menggesa masyarakat supaya membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan kerana penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|