Covid-19 Sabah: ‘Trend’ penurunan kes berterusan

Covid-19 Sabah: ‘Trend’ penurunan kes berterusan

Kota Kinabalu: Sabah terus mencatat ‘trend’ penurunan kes harian Covid-19 dengan catatan terbaharu sebanyak 504 kes hari ini, iaitu angka terendah direkodkan sejak 22 Julai lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia membabitkan penurunan sebanyak 135 kes berbanding 639 kes semalam.

Katanya, sebanyak 15 daerah mencatat penurunan kes, lapan daerah mencatatkan peningkatan dan empat daerah lagi mengekalkan catatan seperti semalam.

Beliau berkata, hanya satu daerah yang mencatat peningkatan dua angka hari ini iaitu Tongod dengan penambahan 10 kes.

“Daerah-daerah yang mencatatkan penurunan kes dua angka ialah Kota Belud (-30 kes), Ranau (-28 kes), Kota Kinabalu (-20 kes), Kudat (-17 kes), Putatan (-14 kes), Sipitang (-13 kes) dan Keningau (-10 kes).

“Tiada daerah yang merekodkan kes tiga angka dan kes tertinggi pada hari ini direkodkan di Kota Kinabalu dengan catatan 60 kes. Daerah lain mencatat kes baharu di bawah 50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada 504 kes yang dicatat hari ini, 198 kes atau 39.29 peratus adalah kes saringan bergejala atau kes yang berlaku secara sporadik yang mana punca jangkitan kes sukar dikenal pasti.

Katanya, sebanyak 291 kes atau 57.7 peratus yang direkodkan hari ini adalah kes yang berlaku sepanjang 24 jam yang lalu.

Selebihnya, beliau berkata adalah kes lama yang lewat didaftar dua hari ke atas selepas keputusan saringan diketahui dengan satu kes didaftar lewat melebihi lima hari.

“Daripada keseluruhan kes hari ini, 92.06 peratus adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala enam kes dalam Kategori 3, tiga kes Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5, manakala 29 kes lagi masih dalam penilaian.

“Sungguhpun ‘trend’ penurunan kes harian agak memberangsangkan tetapi kita belum memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 ini.

“Seperti yang diramalkan sebelum ini, kita berada dalam ‘trend yo-yo’, sekejap turun dan sekejap naik. Sikap kita sendiri yang akan menentukan bagaimana ‘trend’ akan datang ditentukan,” katanya.

Masidi berkata, pematuhan kepada semua SOP secara total dan konsisten adalah benteng utama menghindar jangkitan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|