Covid-19 Sabah: Rakyat diingat beri perhatian kes Omicron

Covid-19 Sabah: Rakyat diingat beri perhatian kes Omicron

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini mengingatkan rakyat di Sabah supaya mengambil perhatian terhadap laporan terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung varian baharu Covid-19, Omicron yang turut dikesan di negara ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pengesanan kes pertama varian virus Covid-19 yang mampu merebak dengan cepat itu adalah sesuatu yang memimbangkan.

“Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan pagi tadi, varian baru Omicron sudah dikesan di negara ini. Belum banyak yang diketahui mengenai varian Covid-19 ini yang dikatakan mampu merebak dalam kadar yang lebih cepat.

“Sehubungan itu, semua rakyat digesa mengambil perhatian perkembangan terbaharu ini secara serius dan mengambil langkah melindungi diri daripada terdedah kepada jangkitan.

“Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat KKM serta pastikan semua mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pada sidang media di Kuala Lumpur siang tadi mendedahkan kes pertama varian dibimbangi (VOC) itu dikesan membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Pelajar berumur 19 tahun sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak itu dikatakan tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu sebelum dikesan positif dan diarah menjalani kuarantin wajib.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah menurun 53 kes kepada 374 hari ini, berbanding 427 kes yang dilaporkan semalam.

“Kota Kinabalu kekal sebagai daerah yang mencatatkan kes tertinggi dengan 61 kes, diikuti daerah Tuaran dengan 60 kes.

“Tidak banyak perubahan di daerah lain kecuali Penampang yang mencatatkan penurunan 46 kes dan Kota Kinabalu turun 17 kes berbanding jumlah semalam,” katanya.

Katanya, daripada 374 kes di Sabah hari ini, sebanyak 97 peratus adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala empat pesakit dalam Kategori 3, seorang dalam Kategori 4 dan tiada pesakit dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 3 Disember 2021
Sabah 374 (427)

Kota Kinabalu 61 (78)
Tuaran 60 (47)
Papar 27 (29)
Kota Belud 24 (18)
Ranau 23 (22)
Kota Marudu 23 (15)
Sandakan 19 (7)
Tenom 19 (11)
Beaufort 19 (27)
Putatan 16 (16)
Keningau 13 (17)
Kuala Penyu 12 (17)
Penampang 12 (58)
Tawau 12 (7)
Kudat 7 (14)
Lahad Datu 6 (6)
Pitas 5 (9)
Kinabatangan 4 (4)
Tambunan 3 (9)
Beluran 3 (5)
Tongod 3 (0)
Semporna 1 (3)
Sipitang 1 (7)
Kalabakan 1 (0)
Telupid 0 (1)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 2 Disember 2021

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|