Covid-19 Sabah: Kes turun 203 kes hari ini

Covid-19 Sabah: Kes turun 203 kes hari ini

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah mencatat penurunan yang besar dengan sebanyak 203 kes kepada 447 kes hari ini berbanding 650 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata, berdasarkan trend semasa, penurunan itu bersifat sementara.

Katanya, kes harian Covid-19 di negeri ini dijangka kekal berlaku turun naik dari semasa ke semasa.

“Kecuali daerah Kota Kinabalu, semua daerah lain di Sabah mencatat angka Covid-19 baharu di bawah paras 50 kes. Kota Kinabalu mencatat 84 kes, peningkatan 37 kes berbanding jumlah kes yang direkodkan semalam.

“Kebanyakan daerah mencatatkan penurunan kes baharu, antaranya Kota Belud (-36), Tuaran (-38), Beaufort (-36), Papar (-17), Kinabatangan (-48), Penampang (-10) dan Sandakan (-16).

“Daripada 447 kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 236 kes atau 52.8 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu setelah keputusan saringan diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selebihnya adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui.

Katanya, sebanyak 78 daripada 84 kes yang dicatat di Kota Kinabalu adalah kes daftar lewat dua hari atau lebih.

“Sebanyak 98 peratus daripada semua kes yang dilaporkan hari ini adalah pesakit dalam Kategori 1 (51 orang) dan Kategori 2 (383 orang).

“Pesakit dalam Kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah. Kategori 3 hanya mencatat dua pesakit, manakala Kategori 4 seramai tiga orang dan dua orang untuk Kategori 5,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|