Campak rokok sebelum melarikan diri

Campak rokok sebelum melarikan diri

Labuan: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti menyeludup rokok nekad mencampakkan rokok tidak bercukai sebelum melarikan diri ketika cuba ditahan dalam operasi kawasan tebing laut Ujong Pasir, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, Polis Marin (PPM) yang sedang melakukan operasi pemantauan di sekitar terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Bot berkenaan kemudiannya diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun lelaki yang berada di atas bot berkenaan terus memecut laju ke kawasan cetek.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, bot berkenaan memecut laju ke kawasan yang cetek di kawasan laut Saguking.

Manakala katanya, pasukan operasi turut mengesan seorang lagi lelaki yang berada di tebing laut kawasan berkenaan.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis terus mencampakkan dan meninggalkan sebuah beg plastik hitam ke laut.

“Suspek kemudiannya terus melarikan diri ke kawasan darat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh anggota operasi di kawasan tebing laut berkenaan menemukan satu beg plastik besar berwarna hitam yang berisi sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama.

Katanya, semua barangan berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,243.60 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Sekysen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967,” katanya.

Sehubungan itu, Saidul berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|