Kota Kinabalu: Kabinet persekutuan hari ini menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata persetujuan itu dicapai selepas taklimat oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kepada jemaah Kabinet.
“Ketika taklimat itu, Peguam Negara menjawab segala pertanyaan undang-undang mengenai pindaan yang dicadangkan, terutamanya berkaitan Perkara 160(2),” katanya.
Maximus berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan membentangkan bacaan pertama RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dalam masa terdekat, manakala bacaan kedua untuk perbahasan dan pengundian akan dilakukan selepas perbahasan Belanjawan pada sidang Parlimen yang berlangsung ketika ini selesai.
“Resolusi penting dan bersejarah adalah cadangan pindaan perlembagaan pada Perkara 1(2) dan 160(2) berkaitan status sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, untuk mentakrifkan semula makna ‘persekutuan’, dan memasukkan istilah Hari Malaysia dalam RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63,” katanya.
-Deasoka