Bandaraya Kuching boleh dijadikan ibu negara kedua Malaysia

Bandaraya Kuching boleh dijadikan ibu negara kedua Malaysia

Kota Kinabalu: Bandaraya Kuching boleh dijadikan ibu negara kedua Malaysia pada masa depan sejajar kedudukan Borneo yang bakal menjadi tumpuan apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Kalimantan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menyentuh mengenai pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur yang disasar membawa bersama perkembangan positif kepada Malaysia terutama di Sarawak dan Sabah dalam pelbagai aspek termasuk sektor ekonomi.

“Saya juga mencadangkan agar mungkin bandar raya Kuching boleh diangkat sebagai ibu negara Malaysia yang kedua jika bersesuaian pada masa hadapan berikutan dengan kedudukan Borneo itu sendiri yang akan menjadi focal point bagi rantau ASEAN apabila ibu kota baharu Indonesia siap sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang.

“Ini kerana lokasi ibu kota baharu yang terletak di kawasan antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara serta dinaungi dua kota iaitu Balikpapan dan Samarinda, dilapor diperuntukkan sebanyak USD$32 bilion oleh kerajaan Indonesia dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2025.


“Pembangunan itu nanti sudah tentu akan merapatkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerana akan lebih ramai rakyat saling berkunjung antara satu sama lain selain dijangka membawa kemakmuran ke wilayah Kalimantan yang sekali gus akan membawa tempias kemakmuran ke Sarawak dan Sabah,” katanya.

Mengambil kira kedudukan geografi ibu kota baharu Indonesia itu yang berdekatan dengan Sarawak dan Sabah, katanya pembangunan di ibu kota itu bakal menjadi pemangkin pembangunan antara wilayah selain dilihat sebagai satu langkah positif kerana mampu membawa banyak kebaikan dan kemakmuran bersama.

Sehubungan itu, Jaziri menggesa agar kerajaan Pusat menambahkan lagi peruntukan di Sarawak dan Sabah dalam RMK-12 sejajar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 baru-baru ini yang menyatakan usaha untuk mempergiat dan melonjakkan pertumbuhan di kedua-dua negeri.

Jelasnya, peningkatan peruntukan itu bukan sahaja merujuk kepada pembangunan infrastruktur asas, perhubungan pendigitalan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi, malah termasuk dalam pembangunan modal insan dan pendidikan seperti yang tertera di dalam Pemacu Perubahan RMK-12.

“Oleh itu saya sangat berharap agar Perdana Menteri dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan untuk diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Usaha menambah peruntukan ini penting dalam menyahut keperluan apabila ibu kota baharu Indonesia beroperasi sepenuhnya kelak kerana sudah pasti pelbagai kemudahan perhubungan melalui udara, laut dan udara antara kedua-dua negara perlu diperkasakan lagi.

“Ini penting kerana pemindahan ibu kota Indonesia itu akan turut melimpahkan kemakmuran ke Sarawak dan Sabah yang perlu dikongsi bersama kepada semua rakyat. Oleh itu adalah perlu pembangunan seimbang dapat dilaksanakan sebagai persediaan untuk pembangunan yang lebih pesat pada masa akan datang di Borneo itu sendiri.

“Apatah lagi dijangkakan pada tahun 2050, Indonesia akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat dan India, malah lebih besar daripada Jepun. Maka impaknya juga akan turut dirasai di Sarawak, Malaysia dan juga di rantau ASEAN,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masanya pembangunan di Sarawak dan Sabah perlu selari dengan pembangunan di ibu kota baharu Indonesia itu nanti.

“Kita tidak mahu lagi terus ketinggalan dan hanya dapat melihat pembangunan yang pesat di Kalimantan tetapi Sarawak dan Sabah masih tertinggal dari arus pembangunan dan rakyat masih tidak mendapat apa-apa manfaat daripada pembangunan pesat ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|