Persepsi GRS gagal sebagai kerajaan hanya permainan politik pembangkang: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Tohmahan dan kecaman yang diterima oleh kerajaan GRS terhadap beberapa isu baru-baru ini hanyalah persepsi pembangkang untuk menanam kebencian terhadap kepimpinan Ketua Menteri; Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN); Datuk Najib Tay Abdullah berkata, mengambil contoh laporan PAC Pan Borneo, ia telah dijadikan senjata politik pihak pembangkang untuk bertindak sebagai ‘hakim’ sedangkan belum terbukti GRS terlibat dalam proses kelewatan tersebut.

Jelasnya, sikap tuduhan rambang dan menyebarkan naratif songsang seperti itu sebenarnya menyebabkan nilai perpaduan di kalangan rakyat sedangkan beberapa pemimpin GRS telah tampil memberikan penjelasan jitu terhadap permasalahan tersebut.

“Ia salah satu contoh, meskipun perkara itu sudah dijelaskan oleh beberapa pemimpin termasuklah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Joachim Gunsalam masih terdapat suara-suara dari sebelah sana kurang bersetuju akan penjelasan diberikan.

“Ini secara tidak langsung menjelaskan betapa kotornya permainan mereka terutamanya di media sosial, bagi mereka apa sahaja yang GRS lakukan adalah salah di mata mereka.

“Bukan itu sahaja, masalah air, masalah jalan raya berlubang, masalah elektrik terputus, masalah tiket kapal terbang semuanya mereka salahkan kerajaan, jadi kalau mereka pintar kenapa bukan mereka sahaja yang pergi selesaikan?

“Janganlah terlalu berpolitik dan sentiasa mengadu domba di media sosial kalau tidak mahu memberi sumbangan kepada masyarakat, perlu bijak berpolitik, “katanya.

Beliau dalam pada itu menggesa kepimpinan Ketua Menteri; Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus komited memperkasakan Sabah melalui pelan-pelan SMJ 2.0 dan jangan ambil peduli dakyah keterlaluan dari pihak pembangkang.

Tinggalkan Balasan