PROGRAM PERKASA PEKEBUN SAWIT DIPERLUAS DARI KAMPUNG KE KAMPUNG

LAHAD DATU: Usaha memperkasa ekonomi pekebun kecil kelapa sawit di Sabah akan diperluas menerusi pendekatan pembangunan komuniti yang memberi penekanan kepada ilmu pertanian, keusahawanan dan penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif menerusi Program Pemerkasaan Pekebun Sawit Malaysia Edisi 1 – Sabah anjuran Green Project Nursery Sdn Bhd itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui siri jelajah dari kampung ke kampung bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mendapat manfaat.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, pendekatan berkenaan berpotensi membantu pekebun kecil meningkatkan pengurusan kebun selain membuka peluang kepada mereka meneroka sumber pendapatan baharu.

Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pembangunan ilmu dan kapasiti, pembangunan nurseri kampung, kerjasama perniagaan kebun serta penggunaan teknologi dan pendigitalan.

Katanya, pendedahan kepada teknologi AI penting bagi memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan dalam perkembangan industri sawit yang semakin memerlukan penggunaan teknologi moden.

“Penggunaan teknologi bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan urusan kerja, malah memberi akses kepada maklumat dan pengetahuan pertanian yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti kebun.

“Teknologi AI juga berpotensi membantu pekebun kecil memperluaskan pemasaran hasil pertanian melangkaui jaringan ejen sedia ada,” katanya.

Mizma turut menyifatkan inisiatif Green Project sebagai usaha membanggakan anak tempatan Lahad Datu dalam menghasilkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya komuniti pekebun kecil.

Beliau berharap program itu dapat berkembang sebagai platform berterusan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi program, Felix Jainol berkata, pendekatan jelajah kampung ke kampung akan menjadi kaedah utama untuk menyampaikan ilmu serta memperkenalkan peluang ekonomi baharu kepada pekebun kecil.

Menurutnya, pihak penganjur turut merancang memperkenalkan konsep nurseri kampung dan rakan niaga kebun menerusi kerjasama dengan Green Project bagi merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.

Katanya, pakar dalam bidang berkaitan akan turut dibawa menyertai siri jelajah bagi memberikan tunjuk ajar mengenai penjagaan kebun sawit serta kaedah meningkatkan hasil pengeluaran.

Dalam pada itu, penglibatan generasi muda, khususnya anak-anak pemilik tanah, turut diberi perhatian bagi membantu ibu bapa memahami penggunaan teknologi baharu selain mempelajari kemahiran dalam pengurusan kebun keluarga.

Felix berkata, pendekatan penggunaan AI akan diperkenalkan secara mudah dan praktikal, mengambil kira tahap penerimaan pekebun kecil yang berbeza, terutama golongan berusia.

Antara kaedah yang diberi perhatian ialah penggunaan aplikasi seperti WhatsApp bagi membolehkan pekebun kecil berinteraksi dengan teknologi berkenaan dan memahami manfaatnya dalam urusan harian.

Program yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tun Haji Mustapha, di sini, pada Sabtu itu dirasmikan oleh Mizma dan menjadi permulaan kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan di Sabah.

Melalui pendekatan bersepadu itu, Green Project berharap dapat melahirkan komuniti pekebun kecil yang lebih berpengetahuan, berdaya saing dan mampu memanfaatkan peluang ekonomi dalam rantaian industri sawit.

Tinggalkan Balasan