KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyiapkan sembilan laporan Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan untuk memandu perancangan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelan-pelan ini disediakan bagi meneruskan program dan projek pembangunan wilayah tertinggal. Ini termasuk Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, Malaysia yang telah mencadangkan empat projek pemangkin dan 27 projek cadangan.
Selebihnya adalah Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah melibatkan lima daerah utama iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan melibatkan keluasan tanah seluas 2.3 juta hektar, katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Sedia di Menara Kinabalu hari ini.
Beliau berkata Sedia telah menerima peruntukan berjumlah RM3.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sejak penubuhannya sehinggalah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Kerajaan Persekutuan, terutama Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sejumlah RM646.3 juta kepada SEDIA sepanjang RMK12. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM3.7 billion sejak penubuhan Sedia bermula RMK9,” katanya.
Hajiji mengalu-alukan komitmen berterusan dari Kerajaan Persekutuan dalam RMK13 untuk meningkatkan keseimbangan kemajuan dan pembangunan wilayah yang ketinggalan.
“Pembangunan Koridor dan hab pengeluaran khusus akan terus diteroka bagi memanfaatkan potensi ekonomi kawasan setempat,” katanya.
Berdasarkan Laporan “Pencapaian Outcome Projek Sabah Development Corridor (SDC) Rancangan Malaysia Ke-9 hingga Rancangan Malaysia Ke-11” yang menyajikan ringkasan hasil projek pembangunan utama yang dilaksanakan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) menunjukkan pencapaian SEDIA yang membanggakan, katanya.
Antaranya, dalam sektor pertanian dan penternakan iaitu pembangunan Pusat Penternakan Bersepadu Keningau (KILC) bernilai RM64.1 juta yang menghasilkan purata pengeluaran susu harian 7,168 liter atau 2.5 juta liter setahun, katanya.
Beliau menambah, projek ini telah menyumbang 29.6 peratus pengeluaran susu negeri Sabah pada tahun 2022 serta mewujudkan 78 pekerjaan setakat 2024.
Dalam sektor Perindustrian dan Logistik pula, Hajiji berkata Palm Oil Industrial Cluster (POIC Lahad Datu) bernilai RM932 juta yang dibangunkan bagi mempercepatkan pembangunan industri hiliran kelapa sawit telah menjana pelaburan bernilai RM4.1 billion dan sebanyak 3,099 peluang pekerjaan setakat 2024 dengan 42 syarikat beroperasi.
Manakala dalam sektor infrastruktur dan perhubungan, antara hasil terpenting adalah pembinaan Pejalan Kaki dan Berbasikal dari Tanjung Aru ke UMS (16.1 Kilometer) yang telah menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang nyaman untuk dihuni, pembinaan Jalan Dua Hala UiTM ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sepanjang 3KM dengan terowong 600 Meter sebagai laluan alternatif yang mana telah mengurangkan masa dan jarak perjalanan.
Hasil daripada projek ini telah meningkatkan jumlah pelaburan di KKIP sebanyak RM8.32 billion (2017-2024) dan 5,882 peluang pekerjaan, katanya.
Sementara itu, pembinaan Jalan Tongod-Pinangah sepanjang 48.5 km dengan kos RM76.8 juta telah menjimatkan masa perjalanan sehingga 75 peratus daripada empat jam kepada satu jam, katanya.
Hajiji berkata SEDIA juga telah mewujudkan Hab Pendidikan Sandakan dengan nilai RM100 juta sebagai Kluster Pembangunan Model Insan melibatkan empat institusi iaitu Fakulti Pertanian Lestari UMS, Politeknik Sandakan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan dan Kolej Vokasional Sandakan 2.
Katanya, SEDIA telah diberikan mandat untuk melaksanakan inisiatif Madani melibatkan 1,230 projek dalam RMK12 bernilai RM102.3 juta antara lain Pembasmian Kemiskinan, People Centric, Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Rekod pelaksanaan projek-projek yang berjaya oleh SEDIA sejak RMK9 hingga RMK12 ini membuktikan pihak berkuasa itu merupakan agensi yang dapat mempercepatkan proses pelaksanaan dan membuat penilaian impak di Sabah, sebuah negeri yang strategik dan berpotensi,” katanya.
Hajiji berkata pembinaan sebuah negara hanya akan menikmati keharmonian jika pembangunan wilayah yang ketinggalan dengan wilayah yang pantas membangun dapat diseimbangkan.
“Jurang ini harus dirapatkan agar tidak berlaku wilayah yang ketinggalan. Jika perlu ‘catching up strategies’ atau jalan pintas dapat diaplikasikan samada melalui penstrukturan dasar dan tindakan.
“Tumpuan tidak seharusnya terlalu menekan kepada Pulangan Pelaburan (ROI) yang segera tapi setiap sen yang dibelanjakan pasti kerajaan akan mendapat pulangan melalui kutipan cukai-cukai. Semua pihak akan menikmati dan akhirnya menambah perbendaharaan negara selain mewujudkan impak sosial seperti pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.
