Belia pemangkin SMJ: Hajiji

Belia pemangkin SMJ: Hajiji

KOTA KINABALU: Pembangunan belia menjadi salah satu keutamaan dalam pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan kerangka Ekonomi MADANI di peringkat nasional, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, golongan belia bukan sahaja memainkan peranan sebagai penerima manfaat dasar, malah merupakan agen perubahan dan tenaga penggerak kepada pembangunan negeri yang berdaya tahan dan inklusif.

“Pembangunan ekonomi belia bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik.
Belia adalah nadi masa depan yang akan mengemudi hala tuju negeri ini.

“Justeru, mereka perlu diberikan ruang, latihan serta peluang untuk menyumbang secara aktif kepada kemajuan Sabah,” katanya ketika merasmikan Forum Ekonomi Belia : “Aspirasi MADANI Dalam Membangun Sabah Maju Jaya” di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada Selasa.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM101.49 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi tahun 2025 untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk RM16.75 juta khusus untuk pembangunan modal insan.

Katanya, pelbagai program diperkenalkan bagi memastikan belia Sabah bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa depan, termasuk Program Felo Sabah Maju Jaya yang memberi pendedahan langsung kepada dasar dan pentadbiran kerajaan.

“Melalui program ini, belia akan dibentuk bukan hanya dari sudut pengetahuan tetapi juga dari segi kepimpinan dan nilai kenegaraan, supaya mereka boleh menyumbang secara berkesan dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan program keusahawanan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang menyediakan geran, latihan dan bimbingan kepada belia yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Katanya, pembangunan ekonomi Sabah perlu dilihat dalam konteks penglibatan belia secara langsung, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan perikanan yang merupakan fokus utama SMJ.

“Potensi besar yang dimiliki negeri ini perlu diterjemahkan menjadi peluang sebenar untuk rakyat, terutama belia. Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif agar golongan muda tidak hanya menjadi pemerhati tetapi pelaku utama ekonomi negeri,” tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|