PPNS sambut baik komitmen PM perangi rasuah

PPNS sambut baik komitmen PM perangi rasuah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik dan menyokong ketegasan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memerangi rasuah dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect berkata, komitmen PM dan Kerajaan Perpaduan wajar disokong oleh pemimpin dan juga rakyat negara ini.

“Kita di Sabah khususnya ahli-ahli PPNS menyokong penuh komitmen dan usaha PM untuk memerangi gejala rasuah dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat harus menyokong penuh usaha dan komitmen Anwar yang tidak akan sesekali bertolak ansur mengenai budaya rasuah sama ada ia melibatkan penyokong kerajaan atau pembangkang”, katanya dalam kenyataan ketika mengulas kenyataan PM, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali bertolak ansur mengenai budaya rasuah sama ada ia melibatkan penyokong kerajaan atau pembangkang.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan terus memerangi rasuah seterusnya memastikan amalan itu tidak berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali) tahu dia dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kalau dibawah pentadbiran saya, orang beritahu satu kes rasuah.

“Percayalah, saya tidak tolak ansur sama sekali, Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tahu benar pendirian, sama ada parti sokong saya atau tidak, itu soal lain. Ia tidak pengaruhi keputusan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap a pada Majlis Peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 sempena Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini tadi.

Sementara itu, Anwar juga mahu badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap tokoh besar sekiranya ada data, fakta dan alasan kukuh.

Loi Tect berkata, gejala rasuah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat kementerian, jabatan dan agensinya serta GLC hanya akan merugikan kerajaan dan rakyat.

“Justeru PPNS menggesa SPRM agar menyiasat dengan teliti setiap aduan kejadian rasuah yang dikatakan berlaku di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, kerana jika ianya benar berlaku, maka usaha dan komitmen PM dan Kerajaan Perpaduan untuk memerangi rasuah akan menjadi sia-sia”, tegasnya.

Beliau mengambil contoh, PPNS telah membuat laporan kepada SPRM baru-baru ini berhubung kegagalan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melunaskan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.

Menurutnya, jumlah itu termasuk sewa gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh negeri.

Katanya, laporan yang dibuat PPNS itu bagi meminta SPRM menyiasat beberapa pegawai NAFAS yang disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS yang menyebabkan tunggakan bayaran selama dua tahun.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|