KOTA KINABALU : ‘Pesta Buah-Buahan Tempatan’ akan diwujudkan bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong dalam dan luar negara berkunjung di empat Homestay berdaftar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, empat homestay terbabit iaitu Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan, manakalaHomestay Darau Wetland dan Homestay Id Pogimpan, Kampung Binaung Baru Manggatal.
Katanya, dalam tempoh terdekat satu perbincangan secara terperinci akan diadakan membabitkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBkK) serta beberapa agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kita melihat ini merupakan potensi menarik kehadiran pelancong melawat Homestay serta sebagai produk pelancongan terbaharu yang boleh dikomersialkan sekali gus menambah produk yang sedia ada.
“Sebagai contoh kawasan pelancongan Homestay Id Pogimpan, Kampung Binaung Baru Manggatal yang terkenal dengan pemandangan yang menarik serta mempunyai sedia ada kawasan pertanian buah-buahan yang boleh mencapai hasrat terbabit,” katanya kepada media di sini hari ini.
Dr Sabin berkata, sudah tentu langkah mewujudkan Pesta Buah-Buahan tempatan adalah cadangan baik sekali gus boleh meningkatkan hasil pendapatan pengusaha homestay itu sendiri.
“Kita akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan kelak memandangkan ia adalah tujuh strategi telah digariskan dengan membabitkan 16 program dijalankan dan akan dijalankan oleh DBKK.
“Antara objektif dalam program ini ialah ingin Meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat dengan melalui penglibatan dalam aktiviti pelancongan dengan mempelbagaikan serta menaiktaraf pelbagai produk pelancongan dan mampu memulihara sumber alam semula jadi sekali gus mengekalkan warisan serta budaya komuniti setempat,” jelas Dr Sabin.
Deasoka