KOTA KINABALU: Cadangan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin yang mengusulkan pendapatnya supaya GRS bertanding di 73 kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang dilihat tidak bersesuaian dengan situasi politik semasa di Sabah.
Menurut Ketua Penerangan Pemuda PGRS Segama, Mohd Zulmer Zulkapli, cadangan tersebut turut memperlihatkan rakan kerjasama PH terpinggir dan dalam masa sama mampu menggangu keharmonian kesepakatan sedia ada.
Jelas beliau, sebagai tokoh politik veteran di negeri ini, Pandikar turut diminta supaya menghormati kestabilan politik lebih-lebih lagi kesediaan PH untuk bekerjasama dengan GRS menjelang pilihan raya negeri akan datang.
“Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Pandikar Amin selaku Presiden parti USNO yang mencadangkan agar GRS bertanding di 73 kerusi pada PRN akan datang, saya ingin menyampaikan pandangan saya.
“Walaupun saya bukan seorang tokoh politik berpengalaman seperti Tan Sri, sebagai ahli biasa dari akar umbi Gabungan Rakyat Sabah dan juga seorang anak muda yang baru menyertai politik, izinkan saya sampaikan pendapat saya bahawa cadangan tersebut tidak sesuai dengan situasi politik semasa di Sabah.
“Tambahan pula, gabungan GRS dan Pakatan Harapan telah membuktikan bahawa kerjasama di antara parti-parti ini mampu membawa kestabilan dan pembangunan kepada negeri Sabah…sejarah telah menunjukkan bahawa perpecahan hanya akan merugikan rakyat Sabah dan memperlambatkan pencapaian matlamat pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Terdahulu, Pandikar semalam sekali lagi menyuarakan pendapatnya berhubung ketetapan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai tujuh komponen parti tempatan supaya bertanding atas kapasiti sendiri pada PRN Sabah ke-17 nanti.
Beliau terlebih dahulu sudah menyatakan pendirian untuk bertanding sendiri sejak tahun lalu dan kali ini, Pandikar mendakwa, parti komponen seperti STAR dan SAPP turut sependapat dengan partinya, USNO.
Sementara itu, menurut Mohd Zulmer lagi, pihaknya meminta supaya kronologi keputusan politik pada pilihan raya lepas sama ada PRN atau PRU di Sabah boleh menjadi penanda ukur terhadap aspek relevan mengenai kerjasama parti di negeri ini.
Jelasnya lagi, adalah tidak munasabah sekiranya PH Sabah dipingirkan memandangkan jasa ‘rakan’ itu adalah amat besar kepada Kerajaan GRS ketika menghadapi situasi Langkah Kinabalu pada awal tahun lalu.
“Tidakkah Tan Sri menghargai bantuan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan yang membantu Kerajaan GRS di saat-saat genting kudeta Shafie-Bung Moktar?
“Adakah Tan Sri tidak menyedari kepentingan mengekalkan semangat setiakawan dalam kerajaan GRS-PH PLUS yang ada sekarang ini?
“Melihat pada situasi politik semasa di Sabah, adalah penting bagi pemimpin di semua peringkat, sama ada di peringkat atasan, bahagian, atau akar umbi, untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam membuat keputusan.
“Bersatu demi kestabilan politik dan ekonomi negeri Sabah serta negara Malaysia yang kita cintai ini, ” katanya.
Deasoka