Pertumbuhan positif operasi pelabuhan di Sabah

Pertumbuhan positif operasi pelabuhan di Sabah

KOTA KINABALU: Operasi pelabuhan di seluruh Sabah mencatat prestasi yang memuaskan dengan perdagangan kontena mengalami pertumbuhan yang positif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, jumlah pengendalian kontena di Sepanggar Bay Container Port (SBCP), Pelabuhan Kontena Tawau dan Sandakan mengalami pertumbuhan yang baik pada tahun 2021 dan 2022.

Beliau berkata, tunggakan rantaian bekalan yang berlaku semasa tahun-tahun pandemik pada 2019 dan 2020 telah menyebabkan perdagangan mengalami penurunan.

Namun katanya, tahun ini jumlah pengendalian kontena di pelabuhan SBCP, Tawau dan Sandakan mulai kembali pulih ke tahap pra-pandemik dengan sebanyak 355,574 TEUs (twenty-foot equivalent units) dikendalikan dari bulan Januari hingga Oktober 2023.

“Walaupun ia mencatat penurunan sebanyak 6 peratus berbanding dengan 378,398 TEUs dalam tempoh yang sama pada tahun 2022, namun jika dibandingkan dengan pada pra-pandemik tahun 2018, jumlah pengendalian kontena untuk 10 bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 9 peratus” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pelabuhan 55 Tahun Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/ Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Katanya, perkembangan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) melibatkan dua kilang industri besar iaitu SBH Kibing dan SK Nexilis, memberikan impak positif terhadap pengendalian pelabuhan serta menyumbang kepada kemasukan import kontena pada tahun 2022 dan 2023.

“Ia dijangka menyumbang kepada impak pada jangka masa panjang dan bakal menyumbang kepada pertumbuhan daya pengeluaran dan eksport di pelabuhan, terutamanya untuk pelabuhan SBCP”.

“Menerusi potensi kerjasama strategik di antara Sabah Port Sdn. Bhd (SPSB) dan syarikat logistik multinasional yang berpangkalan di Dubai-DP World, akan melonjakkan pembangunan dan pertumbuhan yang progresif dalam perkhidmatan dan operasi pelabuhan di SBCP”, tegasnya.

Hajiji berkata, LPPP perlu sentiasa memastikan kemudahan infrastruktur di semua pelabuhan seluruh Sabah sentiasa berada di tahap yang baik, kerana ia antara pintu masuk utama perdagangan negara dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Justeru kita merasa bangga dengan beberapa perancangan dan perlaksanaan yang telah dibuat oleh SPSB untuk menaiktaraf dan menambahbaik infrastruktur kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah”.

“Antaranya melibatkan penambahan jeti minyak di Terminal Minyak Teluk Sepanggar”, pembinaan jeti minyak baru di Pelabuhan Lahad Datu , pembinaan Terminal Kargo Konvensional Teluk Sapangar, pembinaan Pejabat CIQS di Pelabuhan Lahad Datu dan pembinaan kawasan tambahan untuk penyimpanan kenderaan RO-RO di SBCP”, katanya.

Beliau berkata, LPPS telah melakar sejarah dengan Pelancaran Pelabuhan POIC Lahad Datu pada 05 September 2022, yang merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri Sabah khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik serta sokongan kepada operasi eksport dan import.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Negeri 2024 memperuntukkan sebanyak RM25.24 juta bagi menyediakan perkhidmatan kawalan dan penjagaan keselamatan lalu lintas perairan serta pembangunan kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah.

“Selain itu kemudahan peralatan penentu kedudukan di menara-menara kawalan di bawah seliaan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga juga akan dinaiktaraf bagi memastikan proses kawalan dan pemantauan trafik perkapalan di beberapa had pelabuhan (port limit) yang aktif bagi mengelakkan insiden kemalangan dalam kawasan pelabuhan”,tambahnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|