
Kuala Penyu: Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini disaran memanfaatkan program jelajah atau pesta IKS di samping menggunakan dunia digital bagi meningkatkan prestasi jualan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoniti, Datuk Siti Aminah Aching, berkata program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi menjana pendapatan tambahan terutamanya melalui perniagaan dalam talian.

“Usahawan IKS perlu ambil peluang terhadap inisiatif ini dengan menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan melalui pendekatan mempromosi, penjualan dan pemasaran ke arah digitalisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pesta IKS dan Serbaneka anjuran Kelab Usahawan Atas Talian Industri Sederhana (KUATIKS) di Pusat Informasi Rumbia Kuala Penyu, di sini, semalam.
Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, pesta itu merupakan platfrom terbaik bagi pengusaha IKS dari seluruh Sabah, khususnya di Parlimen Beaufort untuk memperkenalkan produk yang mereka hasilkan.
Katanya, inisiatif itu juga memberi ruang untuk mereka menjual produk masing-masing kepada orang ramai bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Aminah berkata, melalui IKS, ia dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutama penduduk di luar bandar dan memajukan lagi industri luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan telah memperuntukkan dana bagi memajukan IKS dan IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan kerana IKS mempunyai pelbagai manfaat serta kepentingan kepada masyarakat dan negara,” katanya
Menurut Aminah yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Beaufort, IKS adalah bahagian terbesar pertubuhan perniagaan dalam ketiga-tiga sektor iaitu pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.
Jelasnya, IKS dalam sektor perkhidmatan adalah kategori terbesar dengan kebanyakannya terlibat dalam subsektor perkhidmatan seperti runcit, restoran, borong dan pembuatan.
“Tahap pembangunan IKS semakin bertambah dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Suntikan dan dasar mesra perniagaan yang dilaksanakan oleh kerajaan banyak membantu kepesatan IKS,” katanya.
Malah, menurut Aminah platform yang disediakan oleh kerajaan banyak membantu pengusaha dan usahawan untuk berjaya.
Katanya, melalui usaha yang dilakukan oleh Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), perkembangan positif IKS dalam meneroka peluang pasaran pada peringkat global memberi gambaran bahawa perancangan yang disasarkan dalam Pelan Induk IKS 2012-2020 yang menggariskan matlamat mencapai sumbangan sektor berkenaan kepada KDNK dapat direalisasikan.
Perkara ini menurut beliau memperlihatkan perubahan permainan dalam industri sekali gus mentransformasikan IKS menjadi pemain antarabangsa.
-Deasoka