Lelaki warga asing curi 4 enjin sangkut dicekup

Lelaki warga asing curi 4 enjin sangkut dicekup

Tawau: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes curi empat enjin sangkut di kawasan Kampung Bombalai Laut, di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia lingkungan 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Melati, Burut, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pada Ahad lalu, polis menerima laporan mengatakan stor milik mangsa diumpil dengan objek tajam.

Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan mendapati empat enjin sangkut milik mangsa dan rakannya yang disimpan di dalam stor yang berkunci hilang dipercayai dicuri.

“Kehilangan empat enjin sangkut itu menyebabkan mangsa dan rakannya kerugian kira-kira RM25,000.

“Bertindak atas maklumat berjaya mengesan suspek disyaki terbabit dalam kes curi enjin sangkut berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasatan lelaki itu mengaku terbabit dalam kes curi enjin sangkut berkenaan.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|