Kompleks Mahkamah Syariah Sabah manifestasi kewujudan enakmen pentadbiran Islam

Kompleks Mahkamah Syariah Sabah manifestasi kewujudan enakmen pentadbiran Islam

Kota Kinabalu: Penubuhan Kompleks Mahkamah Syariah di Sabah membuktikan satu manifesti kewujudan enakmen pentadbiran Islam di negeri ini, sejak 46 tahun lalu.

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah, dengan adanya kompleks berkenaan, ia juga dapat diharapkan sebagai sebuah mercu tanda baharu dalam memudahkan urusan para hakim mengadili kes syariah di negeri ini.

“Setelah 46 tahun wujudnya enakmen pentadbiran Islam ataupun pentadbiran syariah, hari ini kita dapat satu lagi mercu tanda iaitu mahkamah kehakiman, Kompleks Syariah Negeri Sabah.

“Ia secara tidak langsung membuktikan satu manifestasi kewujudan pentadbiran syariah Islam ini telah bertapak di Sabah, Alhamdulillah, “demikian titah Baginda bersempena perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa barisan menteri kabinet lain.

Sementara itu, dalam titah yang sama, Baginda turut mengakui terdapat rungutan rakyat berhubung isu kelewatan pembuatan keputusan kes syariah di Sabah dan menegaskan ianya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua umat Islam.

“Kita tahu, ada juga rungutan kerana kelewatan membuat keputusan-keputusan yang besar.

“Tetapi ini harus dijadikan tanggungjawab bersama untuk menentukan segala urusan berkaitan hal-hal rumahtangga, faraid, undang-undang syariah perlu diurus dengan sebaiknya secepat mungkin dengan berlandaskan hukum hakam dan syariah, “titah Baginda Agong.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli di Sabah untuk mengadakan Kembara Kenali Borneo sejak 3 September lalu bermula di bahagian Pantai Timur negeri ini.

Kembara yang julung kali diadakan oleh Baginda itu merupakan langkah mendekati rakyat Sabah, Sarawak melibatkan perjalanan darat di kawasan pedalaman dua negeri berkenaan, berakhir pada 13 September hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|