TAWAU: Kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa komited dalam hal-hal berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sikap konsisten yang ditunjukkan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan tujuh perkara dalam MA63 seperti mana diumumkan di Sidang DUN baru-baru ini.
Jelas beliau, tuntutan 40 peratus dari hasil negeri yang perlu dikembalikan kepada negeri juga sedang dalam proses pelaksanaannya.
“Alhamdulillah, sejak kita menjadi kerajaan kita telah berjaya menyelesaikan tujuh perkara dan kita telah laksanakan tujuh perkara ini dan perkara perkara seperti yang dibangkitkan 40 peratus itu adalah perkara yang kita telah persetujui, kita sudah berunding dan telah dipersetujui dan kita sedang berbincang bagaimana kaedah untuk melaksanakannya.
“Jadi kita serahkanlah kepada kepimpinan negeri dan kepimpinan persekutuan untuk merealisasikan segala tuntutan yang terkandung dalam MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Ceramah Motivasi SMJ kepada lebih 1,000 calon SPM dan STPM di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, falsafah kerajaan negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor begitu jelas dalam hal tuntutan MA63 dan rakyat perlu meyakini usaha yang sedang dijalankan bagi mengembalikan hak-hak yang termaktub.
“Kerajaan negeri Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor begitu jelas kita akan tetap menuntut apa yang menjadi hak kepada rakyat.
“Negeri Sabah yang tercinta ini yang sudah jauh tertinggal jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia, jadi kita yakin dan apa yang penting rakyat berikan sokongan,” katanya lagi.
Deasoka