
Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini mengeluarkan amaran larangan berenang di perairan Pantai Tanjung Aru 1 dan Pantai Taman Awam Teluk Likas, di sini, berikutan kehadiran obor-obor.
Ia berikutan kehadiran hidupan marin berkenaan dikhuatiri membahayakan keselamatan orang ramai yang tersentuhnya ketika melakukan aktiviti berenang di pantai terbabit.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, berkata tindakan mengeluarkan notis larangan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran obor-obor di dua pantai berkenaan.
“Untuk makluman, pihak DBKK menerima laporan pengesanan kehadiran obor-obor di Pantai Taman Awam Tanjung Aru 1 dan Pantai Taman Awam Teluk Likas.
“Oleh yang demikian pengunjung adalah dilarang untuk melakukan aktiviti berenang di kawasan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial DBKK.
Katanya, larangan itu berkuatkuasa serta-merta bertujuan menjaga keselamatan orang awam.
Kehadiran obor-obor terutama jenis berbisa atau lebih dikenali sebagai ‘balung’ dalam kalangan masyarakat tempatan amat membimbangkan berikutan bisanya boleh memudaratkan kesihatan orang ramai jika terkena anggota badan.
Beberapa kes terkena sengatan obor-obor pernah dilaporkan sebelum ini termasuk di Pantai Tanjung Aru, menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
-Deasoka